Home Buletin Semasa MRSC KUANTAN SELAMATKAN NELAYAN INDONESIA DI PERAIRAN PULAU TIOMAN

MRSC KUANTAN SELAMATKAN NELAYAN INDONESIA DI PERAIRAN PULAU TIOMAN

KUANTAN: Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan berjaya selamatkan seorang nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan di perairan Pulau Tioman, semalam.

Bot berkenaan sebelum itu ditemui oleh nelayan tempatan selepas bot berkenaan hanyut selepas kehabisan minyak.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima maklumat awal kehilangan bot nelayan itu daripada Kantor SAR Natuna menerusi e-mel pada 14 Oktober lalu.

Katanya, bot tersebut dilaporkan bertolak dari Letung, Kabupaten Kepulauan Anambas, Indonesia pada 6 Oktober lalu sebelum terputus hubungan.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan penemuan bot itu daripada MRSC Johor Bahru, kelmarin.

Bot nelayan berkenaan ditemui orang awam di kedudukan kira-kira 22 batu nautika timur Pulau Tioman.

“Pemeriksaan mendapati bot terbabit berada dalam keadaan baik dan membawa seorang lelaki warga Indonesia bernama Bachtiar berusia 61 tahun. Bot berkenaan kehabisan minyak menyebabkan mangsa hanyut di laut.

“Susulan itu, Maritim Malaysia mengatur gerak bot PERKASA 1246 ke lokasi bagi memberikan bantuan, bot bersama mangsa dibawa ke Pulau Tioman dan selamat tiba pada 3.10 pagi, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, MRSC Kuantan turut berkoordinasi dengan Balai Polis Pulau Tioman bagi membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tekek bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Mazlan berkata, pihaknya telah menghubungi Konsulat Republik Indonesia bagi memaklumkan perkembangan penemuan mangsa serta menyelaraskan tindakan susulan termasuk urusan dokumentasi dan penghantaran pulang ke negara asal.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa komited memberi bantuan kecemasan bagi memberi bantuan menyelamat mangsa di laut termasuk nelayan dan warga asing yang berdepan kecemasan di perairan negara.

“Saya bagi pihak Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim memastikan bekalan bahan api mencukup ketika turun ke laut terutama ketika musim Monsun Timur Laut yang melanda negara setiap tahun.

“Nelayan juga perlu pastikan peralatan keselamatan dalam keadaan baik dan alat komunikasi berfungsi sebelum turun ke laut menangkap ikan bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here