Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam empat kes pecah dan curi tabung masjid di sekitar daerah ini dalam tempoh tiga hari, antara 20 hingga 22 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, empat laporan polis diterima membabitkan kehilangan tabung di Masjid Al Aziz Al Hadi, Mukim Kota Warisan, Masjid Nurul Hidayah Kampung Gerong, Palekbang, Masjid Kampung Kok Keli, Palekbang dan Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Chabang Empat.
Menurutnya, semua laporan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid selepas mendapati tabung masjid sudah hilang.
“Anggaran kerugian sebenar masih belum dapat dipastikan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi yang sama, iaitu mengalihkan tabung masjid sebelum mengumpilnya bagi mengambil wang di dalam tabung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang giat mengesan individu yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan,”katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 7222.
IMedikel TV






