LAS VEGAS: Petinju Jake Paul dilaporkan sedang bersiap sedia untuk berdepan bekas juara dunia heavyweight dua kali, Anthony Joshua.
Menurut beberapa sumber media semalam. pertarungan antara Paul dan Joshua dijangka berlangsung sebelum akhir tahun ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, majalah Ring menjadi pihak pertama melaporkan rancangan untuk mengadakan pertarungan tersebut di Netflix, yang dijangka berlangsung pada Disember di Miami.
Paul sepatutnya beraksi dalam perlawanan pertunjukan pada Jumaat di Miami menentang Gervonta “Tank” Davis, juara lightweight semasa Persatuan Tinju Dunia (WBA) yang juga bekas juara super featherweight dan super lightweight.
Namun, pertarungan itu dibatalkan pada 3 November selepas Davis menjadi subjek saman sivil dan siasatan jenayah berkaitan dakwaan oleh bekas teman wanitanya, Courtney Rossel yang menuduhnya atas kesalahan memukul, menyerang dengan niat mencederakan, mengurung secara paksa, menculik, serta menyebabkan tekanan emosi secara sengaja.
Davis (rekod 30-0-1, 28 KO) sepatutnya bertarung dalam kelas berat yang jauh lebih ringan berbanding Paul (12-1, 7 KO), yang pernah bertanding pada berat antara 183 paun hingga 227 paun.
Lebih kepada kategori cruiserweight (had 200 paun), dua pertarungan terakhir Paul amat berprofil tinggi, kemenangan sebulat suara ke atas bekas legenda heavyweight, Mike Tyson (ketika itu berusia 58 tahun) pada November tahun lalu, dan ke atas Julio César Chávez Jr. (39 tahun) pada Jun.
Anthony Joshua yang mempunyai ketinggian 6 kaki 6 inci berbanding 6 kaki 1 inci bagi Paul, berasal dari Britain dan biasanya bertarung pada berat 250 paun atau lebih dalam lima pertarungan terakhirnya.
Joshua, kini berusia 36 tahun, juga mempunyai pengalaman yang jauh lebih luas berbanding Paul, bekas bintang YouTube berusia 28 tahun yang memulakan karier profesionalnya pada 2020.
Joshua (28-4, 25 KO) membuat debut profesionalnya pada Oktober 2013 selepas memenangi pingat emas dalam kategori super heavyweight di Sukan Olimpik 2012.
Namun, Joshua belum kembali ke gelanggang sejak 21 September 2024, apabila dia ditewaskan oleh Daniel Dubois melalui KO pada pusingan kelima, selepas dijatuhkan sebanyak empat kali dalam pertarungan tersebut.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






