Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Secara amnya, musim cuti persekolahan adalah waktu terbaik untuk ibu bapa merebut peluang mengkhatankan anak-anak lelaki mereka.
Berkhatan atau bersunat adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang.
Lazimnya terdapat dua peringkat usia utama di mana khatan dilakukan, iaitu semasa bayi baru lahir dan juga semasa umur kanak-kanak mencecah sekitar umur 7 – 12 tahun.
Adakah bersunat atau berkhatan itu merisikokan? Jawapannya, seperti mana-mana prosedur pembedahan, terdapat risiko yang berkaitan dengan bersunat.
Tetapi, risiko-risiko ini adalah pada kadar yang rendah. Isu-isu yang berkaitan dengan sunat termasuklah:
- Rasa sakit.
- Pendarahan dan jangkitan di bahagian berkhatan.
- Keradangan pada bahagian kepala zakar.
- Meningkatkan risiko mastitis (radang pada bukaan zakar).
- Risiko kecederaan zakar.
Seperti pembedahan kecil lain, kanak-kanak yang menjalani proses berkhatan juga perlu berpantang.
Antara perkara yang perlu diambil berat oleh ibu bapa adalah:
- Memastikan hujung kepala zakar berada dalam keadaan kering dan bersih. Pada awalnya, ia mungkin kelihatan sedikit bengkak tetapi akan surut setelah beberapa lama. Masa yang diambil untuk pulih kebiasaannya antara 7 hingga 10 hari, bergantung kepada teknik yang digunakan.
- Berehat. Elakkan aktiviti lasak terutamanya yang memerlukan anak anda untuk duduk seperti menunggang basikal atau motosikal.
- Mengambil ubat tahan sakit seperti panadol jika perlu.
Ibu bapa yang mengambil peluang membawa anak-anak untuk berkhatan pada musim cuti sekolah ini untuk memastikan tempat pembedahan sentiasa bersih bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Ibu bapa juga dinasihatkan untuk menjalankan prosedur tersebut dengan klinik yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Jika berlaku sebarang pendarahan atau komplikasi selepas pembedahan, segera dapatkan rawatan doktor di klinik atau hospital berdekatan anda.
IMedikel TV






