KUALA LUMPUR: Selangor FC terus memperkukuhkan barisan kejurulatihannya menjelang musim 2026/2027 apabila mengekalkan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih, sambil memperkenalkan tiga muka baharu bagi memperkasakan pasukan.
Memetik laporan Harian Metro, pengendali dari Korea Selatan itu akan terus dibantu Lee Soon Seok, Shahrom Kalam dan Yuki Fujimoto, manakala bekas jurulatih Selangor Bawah 18 Tahun (B18) dan Bawah 20 Tahun (B20), Firdaus Tan Aziz dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih.
Turut menyertai barisan kejurulatihan ialah bekas jurulatih kecergasan Watford, Joel Dones yang menggantikan Nicolas Maidana. Dones sebelum ini turut pernah berkhidmat bersama FC Goa dan Cancun FC.
Dalam masa sama, jurulatih penjaga gol dari Korea Selatan, Cho Jun Ho kembali bergandingan dengan Pan-gon buat kali ketiga selepas pernah bekerjasama ketika mengendalikan Harimau Malaya dan Ulsan HD.
Menurut kenyataan Selangor, kehadiran Firdaus, Dones dan Jun Ho diharap mampu menyuntik kepakaran, idea serta dimensi baharu dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan musim ini.
“Pengurusan berharap kehadiran tiga jurulatih baharu ini akan membawa kepakaran, idea serta tenaga baharu kepada pasukan dalam usaha meraih kejayaan sepanjang musim 2026/27,” menurut kenyataan kelab itu.
Sebagai persiapan menghadapi musim baharu, Selangor kini sedang menjalani kem pramusim di Thailand.
Selepas menewaskan Ratchaburi, skuad Gergasi Merah itu meneruskan momentum positif apabila mencatat kemenangan ke atas kelab Hong Kong, Tai Po FC dalam aksi persahabatan baru-baru ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






