Home Sukan PALMER TERLEPAS AKSI LIGA JUARA-JUARA LAWAN ATALANTA

PALMER TERLEPAS AKSI LIGA JUARA-JUARA LAWAN ATALANTA

BERGAMO, Itali: Cole Palmer akan terlepas perlawanan Liga Juara-Juara buat Chelsea menentang Atalanta awal pagi esok bagi memastikan penyerang muda itu mendapat rehat secukupnya selepas kerap dibelenggu kecederaan.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengesahkan Palmer diketepikan daripada skuad bagi perlawanan di Bergamo sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini menghadapi masalah groin dan kemudian mengalami retak jari kaki selepas tersangkut pada pintu di rumahnya.

Palmer baru sahaja membuat penampilan pertama bersama Chelsea sejak September ketika seri 0-0 dengan Bournemouth hujung minggu lalu.

Maresca tidak mahu mengambil risiko menurunkan Palmer berturut-turut dalam tempoh tiga hari.

“Cole sedang dalam proses pemulihan. Dia tidak bersedia dan tidak boleh bermain dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh tiga hari,” kata Maresca.

“Jadi kami rancang begitu dan ini adalah cara untuk melindunginya,” tegas pengurus warga Itali itu.

Liam Delap turut diketepikan selepas mengalami kecederaan bahu menentang Bournemouth, tetapi Maresca memberi perkembangan positif mengenai penyerang itu.

“Liam, nasib baik tiada retak, itu berita baik. Mengenai tempoh dia akan kembali, kami belum pasti buat masa ini,” jelasnya.

Ketiadaan Delap tetap tidak akan membuka ruang kepada Raheem Sterling, yang masih diketepikan bersama Axel Disasi.

Pemain sayap Chelsea, Alejandro Garnacho dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama selepas menyesuaikan diri dengan baik sejak berpindah dari Manchester United pada musim panas lalu.

“Kadangkala dalam hidup kita perlu buat perubahan untuk terus maju atau memperbaiki diri sebagai pemain,” kata Garnacho.

“Saya rasa ini masa yang tepat dan juga kelab yang betul. Jadi ya, keputusan itu mudah,” tegas pemain Argentina itu.

Chelsea akan memulakan perlawanan di tangga ketujuh carta Liga Juara-Juara selepas menewaskan Barcelona 3-0 di Stamford Bridge pada perlawanan sebelum ini. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here