Home Luar Negara PAKISTAN, INDIA ISYTIHAR DARURAT KESIHATAN AKIBAT JEREBU

PAKISTAN, INDIA ISYTIHAR DARURAT KESIHATAN AKIBAT JEREBU

164
0

ISLAMABAD: Wilayah paling padat di Pakistan mengisytiharkan darurat kesihatan di dua bandar utama pada Jumaat, dengan perintah sekatan pergerakan selama tiga hari seminggu susulan jerebu mengandungi toksik yang terus menyelubungi kawasan itu, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Hospital-hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, waktu operasi klinik dilanjutkan selama beberapa jam, dan petugas perubatan diarahkan melakukan syif tambahan di Bandar Lahore dan Multan, kata Menteri Wilayah Marriyum Aurangzeb.

Kedua-dua bandar di Wilayah Punjab, dengan jumlah penduduk melebihi 18 juta, paling teruk terjejas akibat jerebu mengandungi toksik itu yang bermula awal bulan ini, menurut Aurangzeb.

Katanya, bandar-bandar itu akan berada di bawah perintah sekatan pergerakan penuh setiap Jumaat, Sabtu, dan Ahad, tanpa sebarang aktiviti luar dibenarkan kecuali untuk perubatan kecemasan.

Langkah itu sebahagian daripada beberapa tindakan yang diperkenalkan oleh wilayah terbabit dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk larangan penggunaan beca bermotor, aktiviti barbeku, restoran, relau bata, dan kenderaan yang mempunyai enjin rosak untuk mengurangkan pelepasan pencemaran.

Lahore, dengan populasi lebih 13 juta, menjadi bandar paling tercemar di dunia sepanjang bulan ini, dengan kualiti udara diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Beberapa bandar Asia Selatan lain, termasuk ibu negara India, New Delhi, dan Dhaka di Bangladesh, turut menghadapi masalah sama.

Semua pelajar sekolah rendah di New Delhi diarahkan mengikuti pembelajaran jarak jauh buat sementara waktu.

Selain itu, hampir semua kerja pembinaan di dalam dan sekitar bandar itu dilarang, dan lalu lintas jalan raya dihadkan. – Bernama-dpa, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here