Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
MUADZAM SHAH: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin bertindak pantaas menahan sembilan Orang Asli termasuk dua wanita yang menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Ibam, di sini, untuk mencari emas.
Pegawai Hutan Daerah Rompin, Muhamad Firdaus Zulnaim Johari, berkata selepas mendapat maklumat pihaknya segera bertindak melakukan pemeriksaan di Kompartmen 152 dan 153 dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Ibam.

“Hasil pemeriksaan pihaknya menemui kawasan seluas kira-kira 1.62 hektar yang diceroboh bagi dijadikan tempat mencari emas menggunakan kaedah menyediakan lubang sedalam antara dua hingga tiga meter.
“Terdapat lebih 60 lubang dalam kawasan terbabit,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, kumpulan yang dipercayai memiliki kemahiran mencari emas menggunakan dulang, mereka turut menggunakan mesin memotong rumput galas yang diubahsuai menjadi pam air untuk memudahkan usaha mendapatkan galian bernilai tinggi itu.
“Sembilan individu yang ditahan berumur antara 26 hingga 50 tahun, mereka bergerak dalam beberapa kumpulan. Mereka dipercayai berada di kawasan hutan terbabit kira-kira tiga minggu lalu.
“Mereka yang ditahan patuh dengan arahan dan memberi kerjasama untuk siasatan, mereka memberi alasan untuk mencari rezeki mendorong melakukan aktiviti mencari emas dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Ibam,” katanya,
Beliau menambah, mereka yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Rompin bagi tujuan siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan kes ini disiasat dibawah Enakmen Perhutanan Negara 1986. Seksyen 32 (1) kerana menduduki dan menjalankan aktiviti di dalam hutan simpan kekal tanpa kebenaran.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran. Seksyen 81(1)(e) kerana membersih atau membajak tanah hutan simpan kekal dan Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal.
“Jika sabit dengan semua kesalahan dilakukan mereka terbabit boleh didenda atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Muhamad Firdaus Zulnaim berkata, sembilan individu yang ditahan kemudian dibebaskan selepas proses mengambil keterangan selesai dilakukan pegawai JPNP dan polis.
Tambahnya lagi, serbuan yang dilakukan turut disertai kakitangan Pejabat Ranjer Muadzam Shah dan Pejabat Ranjer Ibam serta anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah Rompin.
Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di beberapa kawasan hutan simpan kekal yang menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab di daerah ini, tindakan tegas sedia menunggu mereka melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mengetahui terdapat aktiviti menceroboh hutan simpan kekal di daerah ini, mereka perlu segera berhubung dengan pihak berkuasa untuk tidak penguatkuasaan.
“Kita tidak berkompromi dengan mereka yang melakukan sebarang kesalahan, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang bersalah,” katanya.
IMedikel TV






