Home Buletin Semasa OPS JAMIN DAN PEMANTAUAN HARGA BARANG KAWALAN

OPS JAMIN DAN PEMANTAUAN HARGA BARANG KAWALAN

245
0

GOMBAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan Kolaborasi Bersepadu OPS JAMIN bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal, di sini, semalam.

 Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan, berkata tujuan pemeriksaan ini dilakukan adalah bagi melihat sendiri situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung kedudukan bekalan dan harga beras dan barangan keperluan harian yang lain termasuk gula, minyak masak, tepung gandum dan sebagainya.

“Saya berkesempatan melakukan pemeriksaan di Pasar Raya Sri Ternak, Selayang dan Pasar Raya NSK Selayang, Batu Caves, Selangor. OPS JAMIN ini sudah bermula sejak 7 Julai lalu.

“Kerjasama strategik yang melibatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi di antara KPDN dan KPKM melalui OPS JAMIN antara lain berperanan penting dalam mengenalpasti keseluruhan rantaian pengedaran beras di semua peringkat pemborong hingga ke peringkat peruncit,”katanya dalam kenyataan media.

KPDN memberi jaminan akan terus membantu KPKM memperkasakan pemeriksaan di bawah OPS JAMIN di seluruh Negara dan menggiatkan tindakan penguatkuasaan di bawah perundangan serta bidang kuasa Kementerian terutamanya dalam menangani isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI).

Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah OPS JAMIN oleh KPDN bermula 7 Julai 2023 sehingga 18 September 2023, sebanyak 6,141 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuklah di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit manakala sebanyak 175 aduan melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras diterima dalam tempoh yang sama dan telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan, harga purata tertinggi beras putih import (BPI) di Semenanjung Malaysia adalah RM40.65, manakala harga purata beras putih import di negeri Sarawak adalah RM39.21, di Sabah RM37.09 dan Wilayah Persekutuan Labuan pula RM37.83.

Turut hadir dalam pemantauan yang dilakukan ini adalah pengurusan tertinggi Kementerian, Bahagian Penguat kuasa (BPGK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).-KPDN-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here