Home Buletin Semasa KPDN TERIMA ADUAN LIBATKAN TRANSAKSI ATAS TALIAN

KPDN TERIMA ADUAN LIBATKAN TRANSAKSI ATAS TALIAN

182
0

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima peningkatan bilangan aduan khususnya aduan melibatkan transaksi atas talian.

Timbalannya, Fuziah Salleh dalam kenyataan media, berkata sehingga 31 Ogos 2023, sejumlah 10,377 aduan atau 35% daripada jumlah keseluruhan aduan adalah merupakan kes aduan transaksi atas talian.

“Seiring dengan perkembangan sektor e-dagang, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pengguna pada masa ini.

“Antaranya barangan yang dibeli atas talian tidak sampai atau tidak memenuhi kehendak pelanggan, standard keselamatan produk yang tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta dark pattern yang merupakan satu teknik tidak beretika yang dilakukan oleh peniaga atas talian untuk mempengaruhi dan mengelirukan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan selepas Perasmian Seminar Today’s Malaysian E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward yang diadakan di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata aduan tertinggi adalah dari platform e-dagang Shopee dan diikuti oleh platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Menurut Fuziah Seminar Today’s Malaysian E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kedudukan semasa sektor e-dagang di Malaysia dan trend di peringkat antarabangsa serta mengkaji kaedah dan amalan terbaik pengawal seliaan industri edagang di negara lain untuk diadaptasi di Malaysia.

“Objektif seminar ini juga adalah untuk mencapai petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan di bawah inisiatif National Economy Strategic Roadmap (NESR).

“Pada masa yang sama, seminar ini juga telah memberikan pendedahan kepada peserta dalam memahami landskap, model perniagaan, pegangan pasaran dan pemegang taruh dalam perdagangan e-dagang sektor borong dan runcit di Malaysia serta mengenalpasti isu-isu utama perdagangan e-dagang dalam Malaysia.

“KPDN berharap dan memohon agar semua penyedia perkhidmatan dan pemain industri edagang turut sama memikul tanggungjawab untuk memastikan hak pengguna dan keselamatan data peribadi pengguna terjamin. Kementerian yakin, jika semua pihak memainkan peranan yang proaktif, industri e-dagang di Malaysia akan berkembang dengan pesat dan seimbang dengan kebajikan pengguna,”katanya.

KPDN mengawal selia Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 kini sedang mengkaji semula perundangan e-dagang sedia ada serta akan mencadangkan mekanisma kawal selia yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan pemain industri dan pengguna terjamin.

Seminar tersebut berlangsung dari 19 hingga 20 September (hari ini) dihadiri wakil-wakil Kementerian dan agensi Kerajaan, pemain industri serta pemegang taruh yang berkaitan. – KPDN –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here