Sydney, AUSTRALIA: New Zealand (NZ) tidak akan mengehadkan pengambilan tahunan imigran berkemahiran tinggi selain merangka laluan lebih pantas untuk memberi mereka status penduduk tetap, ketika negara kaya bersaing untuk menarik bakat global terbaik.
Ini berikutan beberapa negara maju kian meningkatkan jumlah penghijrahan tahunan atau melonggarkan peraturan visa untuk membantu perniagaan utama merekrut kakitangan bagi mengisi kekurangan selepas pandemik COVID-19.
Menteri Imigresen NZ, Michael Woods berkata perubahan ini adalah untuk memastikan tiada had ke atas pekerja asing mahir sekali gus menghapuskan kekangan dalam sistem lama.
Beliau merujuk kepada kayu pengukur yang menetapkan bilangan tempat kediaman yang menghalang imigran mahir daripada menetap di NZ walaupun terdapat keperluan yang boleh dibuktikan.
“Kami tahu banyak industri mencari pekerja kerana kekurangan buruh global yang meruncing.
“Kerajaan sudah mendengar daripada industri dan memberi kepastian bahawa imigran mahir dan keluarga mereka akan dapat menetap di NZ sekali gus berupaya menarik pekerja mahir ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mulai Oktober ini, kerajaan NZ juga akan memudahkan sistem berasaskan mata yang digunakan untuk memilih imigran mahir sekali gus membantu mempercepatkan pemeriksaan permohonan visa dan memberi pekerja berkenaan lebih kepastian mengenai kelayakan.
NZ tidak mempunyai had rasmi pada bilangan tahunan visa pemastautin mahir, tetapi menguruskan proses dalam julat perancangan yang disifatkan mengehadkan bilangan bagi mendapatkan pemastautin tetap.
Langkah itu dibuat ketika pasaran buruh kekal ketat dengan kadar pengangguran menghampiri rekod rendah manakala kadar penyertaan tenaga buruh mencecah paras tertinggi pada suku Mac sejak siri itu bermula pada 1993.
Sumber: BH Online & REUTERS
Imedikel TV






