Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kesedaran nelayan darat terhadap larangan menangkap ikan Temelian atau Temoleh di semua sungai negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila tiada sebarang aktiviti menangkap ikan dikesan dari Februari hingga April lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata setiap tahun pihaknya mengeluarkan notis larangan tangkapan ikan spesies berkenaan berikutan musim ikan terbabit bertelur dan akan berada kawasan air cetek secara berpasangan.
“Temelian boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) kini semakin berkurangan dan tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal terutama pada musim bertelur,katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya pernah menahan individu yang terbabit dengan aktiviti menangkap ikan Temelian dalam tempoh larangan berbuat demikian pada Februari hingga April.

“Sifat ikan Temelian akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.
“Kita memantau beberapa kawasan di Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai bagi memastikan tidak ada individu melakukan aktiviti menangkap ikan Temelian selama tiga bulan.
“Kegiatan menangkap ikan Temelian yang banyak terdapat di tiga sungai terbabit akan berleluasa setiap kali tiba musim bertelur, permintaan menggalakkan dengan harga antara RM50 hingga RM70 sekilogram merancakkan lagi aktiviti memburu ikan berkenaan,” katanya.
Menurut Roslan, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan Temelian dalam tempoh larangan (Februari-April) boleh dikenakan kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.
Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa berusaha melakukan pembiakan ikan temelian di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, untuk dilepaskan beberapa sungai utama di negeri ini.
“Saya berharap mereka yang tinggal berhampiran sungai termasuk nelayan sungai dan pemancing yang mengetahui kegiatan menangkap ikan temelian bermula Februari hingga April setiap tahun, boleh menghubungi pihaknya pada bila-bila masa untuk tindakan menahan mereka terbabit.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana yang dianggap degil dan tidak menghormati undang-undang, hanya tindakan undang-undang sahaja mampu mengajar mereka,” katanya.
IMedikel TV






