Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan penglibatannya dalam penerbitan infografik bertajuk “Ranking Kebersihan Negeri Malaysia 2024” yang kini tular di pelbagai platform media sosial dan aplikasi pesanan.
Dalam satu kenyataan hari ini, JAS menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan, menerbitkan atau mengesahkan infografik berkenaan sebagai penerbitan rasmi jabatan.
Menurut JAS, jabatan itu juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media, laporan rasmi atau maklum balas berhubung dakwaan penarafan atau kedudukan negeri-negeri seperti yang dipaparkan dalam infografik tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau menjadikan maklumat itu sebagai rujukan rasmi tanpa pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar.
“Jangan mempercayai, menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak disahkan kerana tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat serta mencetuskan salah faham terhadap fakta sebenar,” menurut kenyataan itu.
JAS memaklumkan, semua kenyataan media, laporan, statistik, infografik, hebahan serta maklumat rasmi jabatan hanya akan disiarkan menerusi saluran komunikasi rasmi JAS.
Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui platform rasmi jabatan sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Penyebaran maklumat yang tidak disahkan bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap maklumat rasmi berkaitan pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Pada masa sama, JAS memandang serius sebarang penyalahgunaan nama, logo, identiti korporat atau penyiaran maklumat mengelirukan yang boleh menjejaskan reputasi serta kredibiliti jabatan,”jelas kenyataan itu.
Tegasnya, tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan identiti JAS atau menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkannya dengan jabatan itu.
JAS berkata, pihaknya akan terus komited memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat, sahih, telus dan berintegriti selaras dengan tanggungjawabnya sebagai pihak berkuasa dalam pengurusan serta perlindungan alam sekitar negara.
IMedikel TV






