Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Seramai 12,710 pegawai dan anggota dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari undi awal, hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.
Walaupun hujan lebat pada sebelah pagi, situasi itu tidak menghalang pegawai dan anggota PDRM dan proses pengundian berjalan lancar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bersama 1,338 pegawai dan anggota turut menunaikan tanggungjawab mengundi di mengundi berkenaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.

“Setakat jam 10.30 tadi, seramai 4,257 atau 36.3 peratus anggota dan pegawai polis di seluruh negeri ini sudah mengundim
“Proses pengundian awal berjalan lancar dan pihaknya tidak menerima seberang aduan berkaitan sebarang insiden.
“Kenyataan rasmi termasuk statistik bagi anggota dan pegawai bagi Kontinjen Polis Johor yang keluar menunaikan tanggungjawab akan dikeluarkan pukul 5 petang ini selepas semua pusat mengundi awal ditutup,”katanya selepas selesai mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, IPK Johor di sini hari ini.
Sementara itu, Anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), IPK Johor, Shahrizal Musa, 40 tetap bersemangat pergi mengundi, walaupun kaki kanannya bersimen dan terpaksa duduk di kerusi roda.
Beliau yang sudah berkhidmat dengan PDRM selama 23 tahun berkata, tidak pernah terlepas mengundi setiap kali tiba pilihan raya.
“Saya cedera di bahagian ‘achilles tendon’ (urat keting) yang koyak kerana bermain sepak takraw minggu lalu.
“Nak tak nak, memang kena pergi juga mengundi. Ini pertama kali saya mengundi dalam keadaan begini. Tak mengapa yang penting tanggungjawab mengundi itu tetap saya laksanakan,” katanya yang juga pemain Sepak Takraw mewakili Kontinjen Johor.
Semalam, Ab Rahaman dalam satu kenyataan memaklumkan, Polis Johor menggerakkan seramai 3,565 petugas di seluruh negeri khusus bagi mengawal keselamatan dan melancarkan trafik di sekitar pusat pengundian awal sepanjang hari ini.
Pusat-pusat mengundi awal yang dibuka pada jam 8 pagi tadi akan ditutup secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang, bergantung kepada jumlah pengundi di lokaliti dan balai masing-masing.
Untuk rekod, PRN Johor ke-16 menyaksikan persaingan sengit membabitkan 172 calon yang merebut 56 DUN Johor.
Tempoh berkempen bagi pilihan raya negeri kali ini berbaki tiga hari lagi sebelum 2.7 juta pengundi keluar mengundi Sabtu ini.
IMedikel TV






