Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Sebuah rumah jenis kekal di Jalan Istana Bukit Tanah, berhampiran Hospital Tumpat, musnah kira-kira 60 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Lizan Abu Bakar memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi sistem NG999 pada jam 12.51 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, dengan bantuan BBP Wakaf Bharu, bergegas ke lokasi.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1 pagi dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 19 minit,”katanya.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan tiga aliran hos sepanjang 300 kaki dengan bekalan air daripada tangki jentera bagi memadamkan kebakaran sehingga api dipastikan padam sepenuhnya.
“Rumah jenis kekal berukuran 80 x 100 kaki persegi itu dianggarkan musnah kira-kira 60 peratus dan kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Operasi pemadaman membabitkan seramai 13 anggota dari BBP Tumpat dan BBP Wakaf Bharu dengan kekuatan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT),” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi kru IMedikel TV, Lizan berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO).
IMedikel TV






