LONDON: Nama Islam, Muhammad sekali lagi mengungguli kedudukan teratas untuk nama bayi lelaki di United Kingdom, tahun ini.
Laman web BabyCentre menyenaraikan 100 nama teratas untuk kedua-dua bayi perempuan dan lelaki pada 2023.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro Muhammad menjadi nama paling popular di negara itu untuk beberapa tahun.
Varian ejaan lain bagi nama seperti Mohammed dan Mohammad juga terdapat dalam senarai.
Jurucakap BabyCentre Faye Mingo berkata, ibu bapa semakin cakna isu pemberian nama dengan menghabiskan banyak masa memikirkan bukan sahaja mengenai nama bayi mereka, tetapi ejaan nama.
“Mungkin ia kecil, tetapi perbezaan ini penting kepada ibu bapa jadi kami kini akan memasukkan semua ejaan nama bayi individu dalam carta kami,” katanya kepada Mirror.
Muhammad, yang bermaksud terpuji dalam Bahasa Arab ialah nama rasul terakhir umat Islam dan dianggap sebagai nama yang paling banyak digunakan untuk kanak-kanak lelaki di seluruh dunia dengan pelbagai ejaan dan sering menjadi 10 nama teratas dalam kebanyakan negara.
Laman web keibubapaan Bump mendedahkan, anggaran 150 juta kanak-kanak lelaki dan lelaki menggunakan nama itu.
Noah, juga nama rasul berada di tempat kedua dalam senarai bayi lelaki diikuti Theo, Leo, Oliver, Arthur, George, Luca, Freddie dan Jack.
Nama Islam lelaki lain disenaraikan antara 100 teratas termasuk Ali, Abdullah, Ibrahim, Abdul, Musa, Ahmed, Yusuf, Omar, Zayn dan Hamza.
Untuk perempuan, Layla ialah nama Muslim paling popular di tempat ke-31, dengan nama lain seperti Maryam, Fatima, Nur, Aisha, Zahra dan Raya, turut tersenarai.
Platform keibubapaan kini menganggap semua ejaan nama sebagai entri berasingan.
Ini bermakna kedudukan nama anak perempuan, Sophia di tangga pertama tahun lalu Sophia jatuh ke tempat kelapan disebabkan variasi dalam ejaan.
Olivia kegemaran lama kini kembali di tempat teratas diikuti Amelia, Isla, Lily, Ava, Freya, Ivy, Sophia, Grace dan Willow. – AGENSI, HMetro –
I Medikel TV






