Home Buletin Semasa MRSM ULUL ALBAB PERTAMA DI KELANTAN AKAN DIBINA DI TANAH MERAH –...

MRSM ULUL ALBAB PERTAMA DI KELANTAN AKAN DIBINA DI TANAH MERAH – PENGERUSI MARA

Oleh:Afrizam Arif@IMedikel TV

TUMPAT: Maktab Rendah Sains Mara (MARA) Ulul Albab kesembilan yang juga pertama di Kelantan akan dibina di Tanah Merah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, arahan dan persetujuan sudah diterima daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan proses seterusnya akan disegerakan.

Beliau berkata penubuhan Maktab MRSM Ulul Albab di Tanah Merah bakal dibawa ke mesyuarat Majlis MARA akan datang, susulan pengesahan bahawa peruntukan bagi projek berkenaan telah pun tersedia.

“Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat MARA akan datang.

“Kita akan tulis surat semula kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakannya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini semalam.

Majlis dirasmikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid.

Beliau berkata cadangan itu adalah aspirasi akar umbi yang diketengahkan oleh perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah sejak sekian lama.

Terdahulu Asyraf Wajdi memuat naik cadangan berkenaaan dalam media sosial Facebook enam jam lalu.

Dalam hantaran tersebut beliau memaklumkan MRSM Ulul-Albab tersebut adalah pertama di Kelantan yang akan dibina di Tanah Merah.

“Benar semua 57 MRSM ketika ini sedang melaksanakan program Ulul-Albab iaitu mini Ulul-Albab atau Tamhidi yang memerlukan pelajar sekurang-kurangnya menghafaz lima juzuk atau surah-durah terpilih termasuk Juzuk Amma.

“Di samping lapan MRSM yang melaksanakan program penuh Ulul-Albab, justeru MRSM Tanah Merah akan menjadi MRSM ke-9 melaksanakan program Ulul-Albab secara menyeluruh.

“Dengan arahan dan persetujuan terbaru (Ahmad Zahid) MRSM di Tanah Merah MRSM itu akan diusahakan segera melalui proses-proses tatakelola bagi merealisasikan hasrat UMNO Tanah Merah yang membawa suara rakyat Tanah Merah dan Kelantan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here