SINGAPURA: Singapura akan memberikan vaksin Jynneos kepada petugas kesihatan dan kontak rapat kes mpox, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan pada Rabu.
Vaksin Jynneos diluluskan untuk digunakan di Singapura bagi perlindungan daripada jangkitan mpox dan cacar.
Langkah ini sebahagian daripada persediaan kesihatan awam negara untuk menangani wabak mpox Clade I, menurut MOH.
Setiap kontak rapat akan menerima satu dos vaksin semasa mereka berada dalam tempoh kuarantin, dalam tempoh 14 hari selepas terdedah kepada jangkitan bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu.
Namun, tiada cadangan untuk melaksanakan vaksinasi mpox secara menyeluruh bagi semua penduduk dan tiada saranan suntikan vaksin untuk pelancong ke negara yang terjejas mpox setakat ini.
MOH berkata, bekalan vaksin Jynneos yang ada dijangka mencukupi berdasarkan strategi vaksinasi semasa.
Setakat ini, terdapat 14 kes mpox di Singapura tahun ini, kesemuanya membabitkan jangkitan Clade II. – BERNAMA, HMetro Online –
IMedikel TV






