Kuala Lumpur: Speedy Tigers memulakan kempen Siri Jelajah Eropah dengan langkah kanan apabila berjaya membenam pasukan ranking ketiga dunia, Belgium B 3-2 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein – Antwerp, Belgium malam tadi.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, pemain berjaya memberikan persembahan cemerlang dan menunjukkan corak permainan yang cukup baik kerana secara tidak langsung ia meningkatkan lagi moral pasukan untuk perlawanan pada Rabu ini dan seterusnya.
“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan keputusan hari ini (malam tadi) di mana kami memulakan jelajah persahabatan ini dengan kemenangan. Keseluruhan untuk perlawanan hari ini kami mengambil peluang yang dimiliki walaupun Belgium lebih menguasai perlawanan,” katanya.
Tambah Sarjit, beliau melihat skuad kendaliannya masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dalam memastikan setiap pemain tidak banyak melakukan kesalahan mudah kerana perkara itu pasti akan dihukum oleh pasukan lawan.
“Untuk perlawanan kedua apa yang perlu kami perbaiki lagi adalah mengurangkan kesilapan-kesilapan individu selain pemain juga kena pantas serta bijak dalam membuat keputusan dalam masa yang singkat. Malah tahap kesedaran pemain dalam permainan perlu lebih lagi,” katanya.
Untuk makluman, pasukan Malaysia akan menentang skuad Belgium dalam dua perlawanan lagi iaitu 3 dan 5 Julai ini.
Selain Belgium, Speedy Tigers akan melalui tujuh perlawanan di mana mereka akan bertemu dengan pasukan di ranking pertama dunia iaitu Belanda, pasukan di ranking kelima (Jerman) dan ketujuh dunia (India) dan Kelab Hoki Monchengladbach.
Daripada tujuh perlawanan yang sudah diatur, enam daripadanya adalah aksi persahabatan sementara satu perlawanan iaitu bertemu Jerman pada 9 Julai adalah perlawanan ujian sebenar di mana perlawanan itu akan memberikan mata ranking untuk Malaysia. – HMetro –
IMedikel TV






