Home Sukan MOM SOKONG ANGKAT BERAT DIBERI RM1 JUTA SETAHUN

MOM SOKONG ANGKAT BERAT DIBERI RM1 JUTA SETAHUN

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan sokongan terhadap permohonan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mendapatkan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Memetik laporan Harian Metro, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, permohonan itu wajar dipertimbangkan selepas sukan angkat berat membuktikan kemampuan sebagai antara penyumbang pingat emas negara di pentas antarabangsa.

Menurutnya, sokongan kewangan berterusan penting bagi mengekalkan momentum kecemerlangan, meningkatkan kebajikan atlet serta melahirkan lebih ramai juara pada masa hadapan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PABM dan pasukan angkat berat negara selepas mencipta kejayaan bersejarah pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan menyumbang tujuh pingat kepada kontinjen Malaysia.

Pencapaian itu membabitkan lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, selain menyaksikan PABM menerima Trofi Trafalgar sebagai Pasukan Angkat Berat Lelaki Terbaik Keseluruhan pada temasya berkenaan.

Anugerah berkenaan disampaikan ketika Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Komanwel yang berlangsung di Hilton Glasgow pada 31 Julai lalu.

Norza berkata, kejayaan itu membuktikan visi, komitmen dan perancangan strategik kepimpinan PABM diterajui Presidennya, Datuk Ayub Rahmat bersama barisan pemegang jawatan, jurulatih, atlet, penaja serta rakan strategik.

Dalam pada itu, MOM menegaskan akan terus menyokong pembangunan sukan angkat berat menerusi pelbagai saluran termasuk geran antarabangsa di bawah Program Perpaduan Olimpik, sumber pembangunan Majlis Olimpik Asia serta bantuan menerusi Tabung Amanah Majlis Olimpik Malaysia.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here