Home Sukan MIAMI KELAB TERAKHIR SAYA – MESSI

MIAMI KELAB TERAKHIR SAYA – MESSI

MIAMI: Pemenang lapan kali Ballon d’Or, Lionel Messi akan menjadikan Inter Miami sebagai kelab terakhir dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

Bagi Messi, dia tidak akan menyertai mana-mana kelab Major League Soccer lain, atau kembali ke Eropah, mahupun negara asalnya, Argentina.

“Inter Miami akan menjadi kelab terakhir dalam karier saya,” kata Messi yang kontraknya akan berakhir selepas musim 2025 – walaupun ada pilihan lanjutan sehingga tahun 2026.

Messi, yang akan berusia 37 tahun pada 24 Jun, menyertai The Herons pada musim panas lalu selepas beraksi untuk Barcelona dan Paris Saint-Germain.

Di MLS, Messi sudah meledak 12 gol dan melakukan 13 umpanan gol dalam 12 perlawanan musim ini untuk Miami yang kini mendahului liga.

“Saya melakukan ini sepanjang hidup saya, saya suka bermain bola. Saya menikmati latihan setiap hari, perlawanan bola sepak.

“Memang timbul kerisauan yang ia akan berakhir. Ia sentiasa ada. Ia satu langkah yang besar untuk meninggalkan Eropah dan datang ke sini (Miami).

“Namun memenangi Piala Dunia sangat membantu, ia memberi perspektif dari sudut berbeza. Tetapi saya cuba untuk tidak memikirkannya. Saya hanya mahu menikmatinya.

“Saya sedar masa semakin suntuk. Jadi saya mahu menikmati masa bersama kelab, saya bernasib baik mempunyai rakan sepasukan dan kawan-kawan.

“Saya menikmati masa bersama pasukan kebangsaan, di mana saya juga mempunyai ramai kawan-kawan. Saya sedar ia sesuatu yang pasti saya rindui selepas berhenti bermain,” katanya. – REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here