Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Majlis Daerah Ketereh–Perbandaran Islam (MDK-PI) memperuntukkan sebanyak RM25,000 kos bagi pembinaan kereta berhias yang mengambil masa hampir tiga minggu untuk disiapkan sejak 15 September lalu sebelum bertanding dalam acara kemuncak malam kelmarin.
Ia sekaligus meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Perarakan Kereta Berhias sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V ke-56, dengan mengetengahkan tema perpaduan antara kemodenan dan warisan Islamik negeri.
Yang Dipertua MDK-PI, Mohd Rusydee Abdullah berkata seramai 15 kru terbabit dalam pembinaan kereta berhias berkenaan.

“Walaupun mengambil masa lama dan memerlukan ketelitian tinggi, kejayaan ini cukup bermakna kerana sudah lebih 10 tahun negeri ini tidak menganjurkan perarakan seperti ini.
“Kami bangga dapat menyumbang sesuatu yang melambangkan semangat rakyat Ketereh,” katanya.
Mohd Rusydee Abdullah berkata, kemenangan itu hasil ilham bagi menonjolkan Ketereh sebagai daerah yang sedang melangkah ke arah kemodenan, namun tetap berpaksikan syariat Islam dan keindahan warisan tradisi Kelantan.
“Ketereh menonjolkan arah kemodenan dengan simbol projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai nadi kelajuan pembangunan yang bakal menghubungkan daerah ini dengan seluruh negara.
“Bagaimanapun, kami tidak mengetepikan elemen tradisi dan Islam yang menjadi asas peradaban masyarakat di sini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kereta berhias MDK-PI menarik perhatian ramai apabila dihiasi dengan elemen budaya seperti tengkolok hulubalang yang berpusing sebagai lambang keteguhan maruah bangsa, diserikan dengan tenunan songket Kelantan dan keris berasap yang menzahirkan semangat kepahlawanan Melayu.
Mengulas lanjut, beliau berkata turut menyerikan reka bentuk kenderaan itu ialah rehal dan naskhah al-Quran yang dijunjung tinggi menandakan simbol bahawa setiap dasar pembangunan di Ketereh berteraskan prinsip Islam dan nilai keagamaan yang kukuh.
Menurutnya kereta berhias berkenaan juga mengetengahkan unsur keharmonian masyarakat majmuk Ketereh yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan Siam yang hidup dalam suasana muhibah serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Selain itu, pameran mini di atas kenderaan turut memperlihatkan warisan seni rakyat seperti gasing, gendang, serunai, wau bulan dan wayang kulit, menggambarkan kehidupan tradisi masyarakat selepas musim menuai di sawah serta ketekunan petani dalam mengekalkan identiti desa.
“Bertemakan “Kemajuan Seiring Kelajuan, Tradisi Disulam Iman”, penyertaan MDK-PI turut mengetengahkan keunikan zon kulinari tempatan seperti Nasi Kerabu dan Nasi Dagang, yang menjadi tarikan pelancongan dan simbol kemakmuran ekonomi komuniti tempatan,”jelasnya.
IMedikel TV






