Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui dengan anggaran nilai RM2.06 juta menerusi Op V380 yang dijalankan pada 24 Jun lalu.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan suruhanjaya berkenaan.
“Antara barangan yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV), selain komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi bagi membantu siasatan.
“Operasi itu dilaksanakan hasil risikan melalui kerjasama strategik dengan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku agensi pemerakuan berdaftar.
“Seramai 44 pegawai terlibat dalam operasi yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Sehubungan itu, seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
MCMC berkata, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna kerana tidak memenuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Selain menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaan peralatan tersebut juga berpotensi menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi negara.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,”jelas kenyataan itu.
MCMC menegaskan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran dan pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi menjamin keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi negara.
IMedikel TV





