Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pelajar cemerlang Orang Asli peringkat kebangsaan, Hazaril Hakimi Hassan, 20, yang memperoleh keputusan 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 mahu mengejar cita-citanya menjadi pensyarah Bahasa Melayu suatu hari nanti.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Temerloh itu, sejak kecil dia begitu berminat dengan tugas sebagai pendidik yang dapat berkongsi ilmu pengetahuan dengan anak didik seterusnya dapat membantu lebih ramai pelajar berjaya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Minat itu mendorong saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan akhirnya kesungguhan itu terbalas dengan keputusan membanggakan yang dicapai walaupun tidak menduga keputusan itu dapat diraih.
“Saya bersyukur kerana usaha gigih yang dilakukan sebelum ini kini terbukti berhasil apabila mendapat keputusan 4.00, kejayaan ini juga hasil sokongan ibu bapa, keluarga, guru dan rakan-rakan.
“Pengorbanan sebelum ini akhirnya dapat saya tuai hari ini yang turut mampu mengangkat imej masyarakat Orang Asli suku kaum Jahut di Pahang,” katanya dihubungi di sini semalam.
Dia yang menetap di Kampung Paya Mendoi, Kuala Krau, Temerloh, berkata sejak tingkatan satu lagi dia mengamalkan kaedah belajar secara konsisten selain memberi tumpuan semasa di kelas selain mendengar cakap guru, tetapkan matlamat, berdoa, minat belajar, memahami sesuatu subjek dan percaya diri selain mendengar nasihat ibu bapa.
Hazaril Hakimi menambah, dia sentiasa meletakkan matlamat untuk ubah kehidupan keluarga suatu hari nanti, justeru hanya dengan pelajaran sahaja nasib keluarga dapat diubah. Kini keluarga bergantung sepenuhnya pada hasil pertanian.
“Saya berharap permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi kenyataan tidak lama lagi, langkah pertama itu diharap berakhir dengan berjaya,” kata anak pertama daripada tiga beradik itu.
IMedikel TV





