Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Sebanyak enam pasukan berentap merebut kejuaraan dalam Pertandingan Boling sempena Karnival Sukan Kakitangan Penjara Penor 2026 yang berlangsung di Premium Lanes, di sini, kelmarin.
Program anjuran Pejabat Pengarah Penjara Pahang itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Rusli Abd Rahman.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen pengurusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyokong penganjuran program yang berteraskan pembangunan modal insan, pengukuhan semangat berpasukan serta pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga jabatan.
Mohd Rusli berkata, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat dalam sukan boling, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan semangat berpasukan, memupuk kerjasama, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai budaya persaingan sihat dalam kalangan kakitangan.

“Pertandingan tersebut adalah antara pengisian utama Karnival Sukan Kakitangan Penjara Penor 2026 yang dianjurkan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap kecergasan fizikal serta melahirkan warga kerja yang lebih berdisiplin, produktif dan berdaya saing.
“Di samping itu, program ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian menerusi aktiviti riadah yang sihat dan bermanfaat.
“Saya berpuas hati melihat kesungguhan serta semangat juang yang dipamerkan setiap pemain dalam usaha memburu kejuaraan,” katanya.
Katanya pertandingan kali ini menghimpunkan enam pasukan iaitu Rentap, Tok Kenali, Mat Lela, Mat Kilau, Hang Jebat dan Mat Salleh yang masing-masing mempamerkan semangat kesukanan tinggi serta memberikan saingan sengit sepanjang pertandingan berlangsung.
Rata-rata peserta berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan ukhuwah, meningkatkan motivasi warga kerja serta melahirkan kakitangan yang cergas, bersatu padu dan terus komited dalam melaksanakan amanah demi kecemerlangan Jabatan Penjara Malaysia.
IMedikel TV






