Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon untuk menurunkan sebanyak 18,785 kandungan di pelbagai platform media sosial yang melakukan kesalahan jenayah dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jumlah itu berdasarkan maklumat yang diperoleh bermula awal Januari hingga hari ini.
“Sebanyak 67 peratus kandungan diminta untuk diturunkan di Facebook, 18 peratus di TikTok, 13 peratus daripada jumlah itu adalah daripada YouTube sahaja dan selebihnya lain-lain.
“Lebih 84 peratus daripada kandungan adalah judi dalam talian dan penipuan (scam) di semua platform dan paling banyak adalah di Facebook dan YouTube.
“Selain itu, lima peratus kandungan melibatkan buli siber dimohon oleh MCMC untuk diturunkan, empat peratus iklan produk perkhidmatan yang tidak dibenarkan manakala selebihnya lain-lain kesalahan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pihaknya sudah bekerjasama dengan baik dengan platform media sosial namun terdapat platform yang masih membenarkan aktiviti jenayah dalam talian itu berlaku.
“Setelah dilesenkan kita akan meminta supaya mereka mengenakan sekatan-sekatan tertentu terhadap kandungan tersebut,”katanya.
IMedikel TV






