Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Kelantan dalam kawasan Kampung Atas Pinggir Tendong, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 daripada orang awam berhubung penemuan mayat tersebut kira-kira jam 3.40 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas bergegas ke lokasi kejadian sebelum membantu menaikkan mayat berkenaan ke darat dengan bantuan penduduk setempat.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki berusia 37 tahun dan masih belum berkahwin.
“Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 22 Januari lalu, namun tiada laporan polis dibuat oleh pihak keluarga,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas bagi tujuan bedah siasat dan proses pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sehubungan itu, Mazlan menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222.
IMedikel TV






