Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok selepas merampas sebanyak 240,000 batang rokok dipercayai diseludup dalam satu operasi di tebing sungai Penambang, Kota Bharu pada 13 Jun lalu.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, rampasan itu membabitkan 24 peti rokok dengan setiap peti mengandungi kira-kira 10,000 batang rokok, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 240,000 batang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa kotak rokok ditemui terlebih dahulu di atas sebuah jeti sebelum pasukan operasi meneruskan pencarian dan menemukan selebihnya di dalam beberapa kenderaan yang ditinggalkan berhampiran lokasi kejadian.
“Keseluruhan rampasan membabitkan 24 peti rokok. Pada mulanya, pasukan menemui beberapa kotak di kawasan jeti sebelum pemeriksaan lanjut di sekitar 20 meter dan menemukan lebih banyak kotak di dalam tiga kenderaan yang ditinggalkan dan berisi muatan yang disyaki rokok putih tidak bercukai,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditinggalkan adalah sebuah Perodua Alza, Proton Exora dan Grand Livina.
Katanya sebuah MPV tersebut boleh memuatkan sekurang-kurangnya 30 peti rokok yang diseludup dipercayai untuk pasaran negeri ini dan luar Kelantan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM212,000 termasuk cukai,”katanya.
Katanya berdasarkan maklumat risikan terdapat sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan di sekitar muara Sungai Kelantan sekitar jam 9.00 malam.
“Pencarian sekitar jam 9.44 malam, menemukan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.
“Pihak penguat kuasa mengikuti bot tersebut sehingga akhirnya bot tersebut melarikan diri ke lorong tikus.
“Sekitar jam 10.02 malam pihak kami menemui longgokan kotak berwarna coklat yang dipercayai rokok tidak bercukai kastam di tebing sungai Penambang, Kota Bharu,”katanya.
Menurut beliau, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi yang pantas dengan bot yang digunakan hanya singgah seketika untuk menurunkan barang sebelum terus beredar bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Pergerakan mereka sangat cepat iaitu kira-kira 17 minit. Mereka tidak menunggu lama di lokasi pendaratan. Kita percaya sebahagian muatan masih belum sempat diturunkan dan kemungkinan masih berada di dalam bot ketika operasi dijalankan,” katanya.
Kamal berkata, keadaan kawasan yang dipenuhi semak serta mempunyai laluan terhad dipercayai menyebabkan individu yang terbabit meninggalkan barangan dan melarikan diri menggunakan bot sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak dapat memastikan jumlah individu yang terbabit dalam kerja-kerja mengangkut rokok berkenaan kerana suspek berjaya meloloskan diri sebelum ditahan.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 Seksyen 135 (e) kerana mengangkut dan memindah apa-apa barang berduti, tidak berkastam atau larangan.
Katanya kenderaan dan rokok yang dirampas kemudiannya dihantar ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
IMedikel TV






