BANGKOK: Wanita berusia 27 tahun dari China yang dikhuatiri diculik di Thailand untuk wang tebusan lima juta yuan (kira-kira RM3.25 juta), ditemukan polis di sebuah pusat beli-belah di sini.
The Straits Times memetik Bangkok Post melaporkan, Lu Xinlei ditemukan di HomePro BangNa, sebuah premis di daerah Bang Na di bandar ini, petang 8 Jun lalu.
Lu, yang tinggal di Shanghai bersama keluarganya dilaporkan hilang pada 7 Jun lalu selepas bapanya dituntut membayar lima juta yuan (kira-kira RM3.25 juta) sebagai wang tebusan di WeChat, pada hari sama.
Selepas menerima tuntutan wang tebusan, bapanya memulakan pencarian dan mendapati tiada rekod Lu meninggalkan negara itu, walaupun anaknya mempunyai tiket penerbangan dari Thailand ke Singapura, pada hari berkenaan
Menurut saluran berita Thai, kehilangan Lu ada kaitan dengan kegiatan penipuan penculikan siber.
The Bangkok Post melaporkan Lu, yang bekerja untuk sebuah syarikat hartanah Jepun menerima panggilan daripada seorang individu yang memberitahu dia melanggar undang-undang antipengubahan wang haram.
Suspek itu yang mendakwa sebagai pihak berkuasa Jepun, mengarahkan dia memindahkan 17 juta yen (kira-kira RM11 juta) untuk pemeriksaan, berlepas dari Shanghai ke Thailand atau Singapura dan tidak menghubungi ibu bapanya.
Selepas tiba di Thailand pada 5 Jun lalu, Lu diarahkan untuk menukar kad SIM telefon bimbit dan kerap berpindah ke hotel berbeza.
Selepas polis Thailand menemukannya, dia dibawa ke balai polis Phra Khanong, di sini, sebelum bertemu semula dengan ibu dan adik perempuannya,
Jurucakap polis Thailand memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Lu selamat dan tidak cedera, lapor portal Thaiger.
“Kami percaya suspek menipu mangsa dan keluarganya. Tiada penculikan sebenar berlaku,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






