Home Buletin Semasa KASIH IBU JADI KEKUATAN, NUR FATHIAH RAIH ANUGERAH REKTOR

KASIH IBU JADI KEKUATAN, NUR FATHIAH RAIH ANUGERAH REKTOR

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KEMAMAN: Kasih seorang anak terhadap ibu yang menjalani rawatan dialisis menjadi antara kekuatan buat Nur Fathiah Suhaibi, 21, untuk mengharungi perjalanan pengajian sehingga berjaya meraih Anugerah Rektor pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, Sabtu lalu.

Di sebalik kejayaan membanggakan itu, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan menyimpan kisah pengorbanan tersendiri apabila memilih untuk meneruskan pengajian berhampiran ibunya bagi memastikan wanita itu sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang daripadanya.

Anak jati Kuala Terengganu itu dibesarkan sepenuhnya oleh ibunya selepas ibu bapanya berpisah ketika dia berusia dua tahun.

Bagi Nur Fathiah, kejayaan menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 sudah menjadi satu pencapaian yang amat bermakna, malah dia tidak pernah menyangka akan menerima anugerah berprestij berkenaan.

“Jujur berkata, saya tidak pernah impikan untuk menerima Anugerah Rektor ini, apatah lagi saya hanya pelajar diploma dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak.

“Apa yang saya fikirkan ketika itu hanyalah untuk menamatkan pengajian sepenuhnya demi masa depan saya,” katanya.

Menurutnya, dia pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, namun kasih terhadap ibunya membuatkan dia memilih UC TATI supaya dapat berada lebih dekat dengan wanita yang membesarkannya itu.

Katanya keputusan berkenaan juga membolehkannya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sama di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu, sekali gus memberi ruang untuk terus memberi perhatian kepada ibunya.

Di sebalik komitmen terhadap keluarga, Nur Fathiah turut aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program di kolej selain melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu.

Katanya penglibatan aktif itu menjadi nilai tambah kepada pencapaiannya sepanjang pengajian sehingga berjaya merangkul Anugerah Rektor.

Lebih membanggakan, kejayaan akademik itu tidak memadamkan impiannya untuk membina masa depan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, malah dia bercita-cita memiliki perniagaan penjagaan kanak-kanak sendiri suatu hari nanti.

Pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, Anugerah Rektor disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here