Home Hiburan TARUNG KUTIP RM23.43 JUTA, AEDY ASHRAF FOKUS CABANG BAHARU DALAM DUNIA PENERBITAN

TARUNG KUTIP RM23.43 JUTA, AEDY ASHRAF FOKUS CABANG BAHARU DALAM DUNIA PENERBITAN

Kejayaan filem Tarung: Unforgiven mengutip kira-kira RM23.3 juta membuatkan pelakon Aedy Ashraf tidak menolak kemungkinan bakal mengehadkan tawaran lakonan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Memetik laporan Harian Metro, Aedy, 33, berkata dia berasa semakin seronok meneroka bidang penerbitan menerusi syarikatnya, Alpha47 Films apabila filem sulung terbitannya itu berjaya membuat kutipan yang baik.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga mahu menghasilkan lebih banyak karya yang memberi nilai dan makna kepada penonton, khususnya golongan muda.

“Saya sangat seronok dengan cabang baharu yang diceburi ini. Penerbit kreatif di Malaysia tidak ramai, jadi saya menggalas tanggungjawab untuk menyajikan lebih banyak filem yang mempunyai nilai moral, jalan cerita menarik dan makna kepada penonton muda.

“Melainkan ada tawaran yang sangat baik, saya tidak menolak rezeki. Namun, buat masa ini, penerbitan menjadi fokus kerana saya benar-benar seronok melakukan kerja ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran The Spritzer ION Media Launch di Serdang, baru-baru ini.

Aedy berkata, peluang yang hadir untuk meneroka bidang penerbitan dirasakan tepat pada masanya, sekali gus dia mahu memanfaatkan ruang berkenaan dengan sebaik mungkin.

“Saya rasa tanggungjawab itu diberikan tepat pada masanya. Saya mahu menggalasnya dengan sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, itulah yang mahu saya lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy mengakui tidak sabar untuk menerbitkan filem seterusnya selepas Tarung: Unforgiven.

Bagaimanapun, dia mahu memberi ruang kepada diri sendiri dan pasukannya untuk berehat sebelum kembali memberi tumpuan kepada projek baharu.

Katanya, pembangunan filem sulung Alpha47 Films itu mengambil masa kira-kira dua tahun termasuk proses persiapan sebelum ditayangkan di pawagam pada Mei lalu.

“Kalau boleh, pada hari filem itu ditayangkan, saya mahu terus menghasilkan filem lain, tetapi Tarung sendiri mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan.

“Sepanjang tempoh itu, saya dan pasukan Alpha47 bekerja keras tanpa cuti, ibarat orang gila kerja di pejabat, semata-mata mahu menghasilkan filem berkualiti yang disukai ramai,” katanya.

Justeru, Aedy merancang berehat kira-kira enam bulan sebelum menyusun langkah untuk dua projek seterusnya.

“Buat masa ini, kami mahu berehat seketika, mungkin enam bulan, untuk mengambil nafas sebelum merancang dua projek akan datang.

“Kami sudah mempunyai beberapa judul dalam perancangan. Cuma, kami masih menunggu masa yang sesuai untuk menentukan filem mana akan diterbitkan terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas perancangan jangka panjang, Aedy berkata, Alpha47 Films menyasarkan penerbitan dua filem serentak pada tahun depan sebelum memberi tumpuan kepada pembikinan Tarung 2 pada tahun berikutnya.

“Insya-Allah, pada 2027, Alpha47 akan menerbitkan dua filem serentak supaya masa pada 2028 dapat digunakan untuk menghasilkan Tarung 2.

“Sebagai penerbit bersama rakan kongsi, Zaidi Zaimi, kami perlu menjaga garis masa supaya sesebuah naskhah tidak mengambil masa terlalu lama atau disiapkan terlalu cepat,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here