Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan Malaysia kekal bebas daripada penyakit virus Nipah setakat ini, namun terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan laporan wabak membabitkan manusia di West Bengal, India baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, DVS memaklumkan pihaknya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada bagi mencegah sebarang risiko kemasukan serta penularan penyakit zoonotik itu ke dalam negara.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan pencegahan penyakit zoonotik, pemantauan berterusan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara terus terpelihara.
“DVS menjalankan tindakan pemantauan secara berterusan melalui aktiviti survelan tahunan dalam babi domestik dan babi hutan untuk pengesanan awal kewujudan penyakit,” menurut kenyataan itu.
DVS turut menjelaskan bahawa kelawar buah atau ‘flying fox’ dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus Nipah, manakala ternakan babi bertindak sebagai perumah pengganda (amplifying host). Jangkitan dalam populasi babi berpotensi meningkatkan risiko penularan kepada manusia dan haiwan lain sekiranya langkah biosekuriti tidak dilaksanakan secara berkesan.
Sehubungan itu, pemantauan terhadap populasi kelawar buah akan terus diperkukuhkan sebagai sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan nasional.
“DVS turut menyeru penternak babi supaya sentiasa berwaspada, khususnya ladang yang berhampiran dusun atau mempunyai pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik kehadiran kelawar serta meningkatkan risiko jangkitan.
“Penyakit Nipah adalah penyakit wajib lapor di Malaysia. Semua penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang syak jangkitan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sekiranya disyaki berlaku jangkitan penyakit tersebut dalam kalangan ternakan,”jelas kenyataan itu.
DVS memberi jaminan bahawa status Malaysia sebagai negara bebas Nipah sentiasa dipantau melalui langkah pencegahan dan kesiapsiagaan berterusan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.
“DVS akan terus komited dalam memastikan keselamatan kesihatan haiwan, kelestarian industri ternakan dan kesihatan awam negara sentiasa terpelihara,”menurut kenyataan itu.
Sepanjang tahun 2025, lebih 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji, dengan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah.
“Selain itu, kawalan ketat turut dilaksanakan terhadap import daging babi, di mana hanya negara yang bebas Nipah dibenarkan mengeksport produk berkenaan ke Malaysia,”menurut kenyataan.
DVS turut menyeru semua pihak, khususnya para penternak, agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041.
IMedikel TV






