Melihat lakonan Beto Kusyairy di layar perak mahupun kaca televisyen akan sentiasa membuatkan penonton tergamam dengan kemampuan dan penghayatan watak dalam lakonannya.
Memetik laporan Harian Metro, bagaimanapun, siapa sangka di sebalik layar, Beto juga sentiasa berhati-hati apabila menerima tawaran terutama naskhah yang memakan masa panjang.
“Saya memang ada satu masalah iaitu apabila terbabit terlalu lama dalam satu projek terutamanya siri. Kalau 13 episod pun, saya sudah cukup sukar untuk bertahan.
“Kenapa? Sebab kalau naskhah itu tidak membantu memberikan saya keterujaan, maka hasil kerja saya akan menjadi ‘asal boleh’ dan itu bahaya,” katanya.
Menurut pelakon berusia 45 tahun itu, sikap ‘asal boleh’ itu berkemungkinan besar akan ‘berjangkit’ sehingga ke set penggambaran lain yang turut membabitkannya.
“Ia boleh terbawa-bawa ke projek seterusnya. Saya akan jadi bosan dengan karakter dan akhirnya buat sekadar untuk menghabiskan. Perkara itu menakutkan saya.
“Jadi, saya akan tengok dahulu. Kalau naskhah itu bagus, barulah saya teruskan,” katanya.
Bagaimanapun, naskhah terbaharu Good Boys Go To Heaven arahan Ariff Zulkarnain tampak berjaya mencuri hatinya.
“Saya disunting oleh pengarah, Ariff Zulkarnain dan Mira Mustaffa (penulis) sendiri. Mereka berkongsi mengenai apa yang ingin mereka lakukan untuk cerita ini.
“Saya terus beritahu, ‘anggap saya sudah sebelah kaki masuk’ kerana isu (tema) serta penceritaannya sangat segar dan perlu disampaikan kepada khalayak,” katanya.
Berkongsi mengenai watak Yasser yang dilakonkannya, Beto berkata, ia adalah watak yang sangat berat.
“Saya memegang watak sebagai Yasser. Cerita bermula apabila anaknya ditemui mati, dan secara tidak langsung dia menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan anaknya sendiri.
“Apa yang cuba diketengahkan dalam naskhah ini lebih kepada isu kesihatan mental dari perspektif seorang lelaki serta trauma yang dialaminya. Itu yang kami cuba tekankan.
“Watak ini agak berbeza daripada watak saya sebelum ini, walaupun sebelum ini saya juga pernah membawa watak berkaitan isu kesihatan mental.
“Namun, watak kali ini ‘berat nak mati’. Antara sebab saya menerima tawaran ini adalah kerana ia begitu berat dan mencabar,” katanya.
Sebagai pelakon, menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan kajian bagi memberi pemahaman mengenai latar belakang watak itu selain perbincangan dengan pengarah.
“Saya membuat kajian sendiri mengenai isu kesihatan mental, trauma dan sebagainya untuk memberi input. Saya juga banyak berbincang dengan pengarah dan penulis bagi mencari titik temu yang sama.,
“Penatnya memang penat yang saya pilih sendiri, sangat meletihkan dari segi emosi. Tetapi apabila melihat hasil daripada kamera dan monitor, bukanlah saya mahu memuji diri, namun saya rasa kalian perlu menontonnya sendiri.
“Naskhah itu membuatkan saya tertarik dan teruja. Ia menjadi satu bentuk tanggungjawab untuk diri saya kerana saya percaya masyarakat perlu menontonnya. Ia seperti bentuk CSR untuk diri saya sebagai pelakon,” katanya.
Selain Beto, drama bersiri Astro Originals itu turut dibintangi Zahirah Macwilson, Firdaus Karim, Malek McCrone, Amerul Affend, Amanda Ang, Sky Iskandar dan ramai lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






