KUALA LUMPUR: Aktres popular Indonesia, Luna Maya, 42, tidak menolak rezeki untuk bergelar ibu apabila mendedahkan sudah mempunyai perancangan menimang cahaya mata tahun depan, selepas lima bulan mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Maxime Bouttier, 32.
Memetik laporan Berita Harian, mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia, Luna berkata, dia bersedia memperlahankan kerjaya seni sekiranya berdepan fasa kehamilan demi memberi tumpuan kepada keluarga.
“Mungkin nanti saya akan sedikit perlahan (kerjaya) kalau kami sudah memutuskan untuk mempunyai anak. Perancangannya tahun depan.
“Buat masa ini, kami mahu menikmati kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu dan saling mengenali lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Sukma, di GSC Mid Valley Megamall, di sini, malam tadi.
Menurut bintang filem Malam Jumat Kliwon itu, dia mahu memastikan rumah tangganya kukuh sebelum bersedia melangkah ke fasa sebagai ibu.
“Saya mahu semuanya tersusun dan dirancang. Bila rumah tangga sudah stabil, barulah bersedia untuk menimang anak. Saya tidak mahu terburu-buru hingga akhirnya menyesal atau tidak bersedia sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah Luna, komitmen kerja yang masih padat turut menjadi sebab dia memilih untuk menunggu masa sesuai sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada perancangan menimang zuriat.
“Sekarang saya masih sibuk dengan pelbagai kerja. Jadi, bila tiba masanya nanti, saya mahu memperlahankan langkah dan fokus untuk memulakan keluarga.
“Kami juga sedang membuat perancangan rapi termasuk menabung, sebab mempunyai anak bukan perkara mudah. Saya mahu memberikan yang terbaik untuk anak nanti,” katanya.
Luna yang sinonim dengan pelbagai filem seram mengakui hanya merancang untuk memiliki seorang anak sahaja kerana mahu memberi tumpuan dan kasih sayang sepenuhnya.
“Cukup satu saja. Dunia pun sudah ramai manusia. Biar satu, tetapi berkualiti. Saya mahu anak yang menjadi gabungan terbaik antara saya dan suami.
“Kalau ada rezeki lebih, mungkin kami ambil anak angkat pula sebab ramai bayi di luar sana yang tidak bernasib baik,” katanya.
Luna dan Maxime disatukan dalam majlis pernikahan tertutup di Bali pada 7 Mei lalu, disaksikan keluarga serta teman rapat.
Dalam perkembangan lain, Luna kembali mewarnai layar perak menerusi filem seram misteri terbaharu arahan Baim Wong, berjudul Sukma, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 30 Oktober ini.
Menerusi naskhah terbitan Tiger Wong Entertainment dan diedarkan GSC Movies, Luna membawakan watak Arini, wanita yang berdepan insiden ngeri selepas berpindah ke sebuah bandar kecil bersama keluarganya.
Filem itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Fedi Nuril, Christine Hakim, serta aktres popular Malaysia, Anna Jobling. – BH Online –
IMedikel TV






