Home Sukan LUIS YAKIN FLAMENGO BOLEH SAINGI BAYERN

LUIS YAKIN FLAMENGO BOLEH SAINGI BAYERN

208
0

MIAMI, Amerika Syarikat: Flamengo menyifatkan pertemuan menentang Bayern Munich pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok lebih daripada sekadar perlawanan bola sepak, sebaliknya peluang merealisasikan impian yang mampu mengubah karier dan status antarabangsa kelab Brazil itu.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, bercakap menjelang aksi di Stadium Hard Rock, jurulatih Flamengo, Filipe Luis berkata kejayaan pada kejohanan itu memberikan impak jauh lebih besar kepada pasukan dari Amerika Selatan berbanding kelab Eropah.

“Bagi pasukan Eropah, kemenangan pada kejohanan ini mungkin tidak banyak mengubah kehidupan mereka. Tetapi bagi kami, ia amat besar maknanya,” katanya.

Flamengo turun selaku pasukan bukan pilihan menentang juara Eropah enam kali itu, namun Luis menegaskan identiti pasukan serta semangat kompetitif yang terasah dalam budaya bola sepak Brazil memberi mereka peluang sebenar.

“Pemain Brazil amat kompetitif. Mereka membesar dengan tekanan tinggi daripada penyokong, media. Semua itu membentuk ketahanan mental yang memainkan peranan penting dalam perlawanan seperti ini,” jelas bekas pemain Atletico Madrid dan Chelsea itu yang kini membuat penampilan sulungnya selaku jurulatih pada kejohanan besar.

Luis turut mengakui keampuhan taktikal Bayern dan tekanan tinggi yang dilancarkan kelab gergasi Jerman itu, namun menegaskan Flamengo tidak akan mengorbankan gaya permainan mereka.

“Flamengo ada DNA sendiri dan kami tidak akan mengabaikannya. Beginilah cara kami bermain dengan bola, dengan keberanian. Kami bangga dengannya,” katanya.

Namun beliau mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu bergantung kepada kepantasan untuk menembusi benteng Bayern.

“Pertahanan mereka sudah terbiasa mengawal ruang. Jadi kami perlu gabungkan intensiti dengan penguasaan bola. Anda tidak kalahkan Bayern hanya dengan berlari di belakang mereka,” katanya.

Flamengo yang pernah menjuarai Piala Antara Benua 1981 menewaskan Liverpool, menganggap aksi kali ini sebagai peluang membuktikan kemampuan di pentas berkecuali menentang kuasa besar Eropah.

“Perdebatan sama ada Flamengo boleh bersaing dalam Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara Eropah sering timbul. Tetapi realitinya, kami tidak akan bermain dalam liga itu, kami bermain pada Piala Dunia Kelab. Ia konteks yang berbeza sama sekali.

“Kami tidak bermain di stadium mereka dan mereka juga tidak bermain di stadium kami. Cuaca, padang semuanya berbeza. Saya elakkan perbandingan yang tidak membawa makna.

“Ramai pemain kami ada pengalaman Liga Juara-Juara. Lima pemain dipanggil skuad kebangsaan Brazil baru-baru ini. Kami juga ada pemain antarabangsa dari Uruguay, Ecuador dan negara lain.

“Dengan penuh hormat, saya yakin kami mampu beri tentangan kepada Bayern.” – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here