Home Buletin Semasa LIMA MANGSA NAHAS HELIKOPTER LONG LELLANG DITEMUI, IDENTITI DISAHKAN MENERUSI DNA

LIMA MANGSA NAHAS HELIKOPTER LONG LELLANG DITEMUI, IDENTITI DISAHKAN MENERUSI DNA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MIRI: Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, ditemui di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar, semalam.

Memetik laporan Sarawak Update, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, identiti kesemua mangsa dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi yang berada pada jasad mereka.

“Bagaimanapun, pengesahan rasmi identiti kesemua mangsa akan dilakukan menerusi ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA),’ katanya.

Menurut beliau, semua jenazah mangsa akan diterbangkan ke Hospital Miri bagi menjalani proses bedah siasat dan ujian DNA.

“Lima mangsa terbabit ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44,” katanya.

Mengulas kronologi penerbangan, helikopter berdaftar 9M-LLF berlepas dari Miri pada jam 10.21 pagi sebelum mendarat di Ba’ Lai pada jam 11.39 pagi bagi melaksanakan tugasan FDS.

Helikopter itu kemudian berlepas dari Ba’ Lai menuju Long Siut, Selungo, pada jam 1.41 petang dan mendarat di Long Siut pada jam 1.50 petang bagi tujuan mengisi minyak.

Pesawat berkenaan kemudiannya meneruskan penerbangan ke Long Lellang sebelum dipercayai mengalami kemalangan ketika hendak mendarat di landasan terbang berkenaan kira-kira jam 3.21 petang dan terhempas di hujung landasan.

Penerbangan ke Long Lellang adalah bagi tujuan bermalam di kawasan berkenaan sebelum meneruskan penugasan FDS ke Tanjong Durian hari ini.

Susulan nahas, Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lapangan Terbang Miri diaktifkan, manakala pasukan keselamatan dan agensi berkaitan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), mengesahkan keadaan mangsa serta melaksanakan tindakan lanjut.

Seramai 67 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi berkenaan, termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Layang-Layang Aerospace, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan RELA.

Operasi turut disokong empat aset udara dan lima kenderaan pacuan empat roda, termasuk dua helikopter PDRM, sebuah helikopter Bomba dan sebuah pesawat Cessna 208 Caravan PDRM.

Siasatan di lokasi kejadian dijalankan bersama pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, pasukan SAR serta pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Miri (STORM).

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, helikopter berkenaan ialah model BO-105 S (CBS 5) keluaran Jerman pada 1991 dan telah digunakan bagi membawa petugas KKM di Sarawak selama 17 tahun sejak 2009.

Sepanjang tempoh itu, helikopter terbabit digunakan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di beberapa kawasan Sarawak, khususnya Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario.

Nahas berkenaan mengorbankan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter ketika mereka melaksanakan tugasan membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak. – Sarawak Update –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here