Home Buletin Semasa 1,196 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU JIM DI 40 LOKASI PERKILANGAN

1,196 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU JIM DI 40 LOKASI PERKILANGAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Seramai 1,196 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan secara serentak di 40 lokasi perkilangan di seluruh negara, semalam.

Operasi yang dilaksanakan di lokasi dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi itu membabitkan 715 pegawai Imigresen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut JIM menerusi kenyataan di laman rasmi, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan aduan awam, selain hasil risikan serta pemantauan terhadap maklumat yang diterima.

“Sepanjang operasi, seramai 2,159 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 1,196 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 63 tahun, membabitkan 946 lelaki dan 250 perempuan.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India, Nepal serta beberapa negara lain,” kata JIM.

Menurut JIM antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa, selain kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan berkaitan.

“Dalam operasi sama, sebanyak 37 Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata JIM.

JIM turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi, menggaji atau membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berada di premis masing-masing.

Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang imigresen.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here