Home Buletin Semasa LIMA KLUSTER INFLUENZA DIKESAN DI KELANTAN, KESELURUHAN 514 KES DIREKODKAN

LIMA KLUSTER INFLUENZA DIKESAN DI KELANTAN, KESELURUHAN 514 KES DIREKODKAN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak lima kluster jangkitan influenza dikesan di Kelantan setakat minggu epidemiologi ke-40, tahun ini, dengan 514 kes dilaporkan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, kesemua kluster berkenaan melibatkan institusi pendidikan, khususnya sekolah berasrama, namun keadaan ketika ini masih terkawal tanpa sebarang kes serius atau kematian dilaporkan.

“Setakat ini, tiada pesakit yang dimasukkan ke wad atau mengalami komplikasi teruk.

“Kebanyakan kes melibatkan pelajar di sekolah asrama dan mereka pulih dalam tempoh sekitar seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Operasi Selamat Paru-paru ‘Malam’ Penguatkuasaan Penuh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) Peringkat Negeri Kelantan di Cawangan Kawalan Penyakit, JKNK Kota Bharu, di sini, semalam.

Dr Zaini berkata, peningkatan kes influenza bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi turut dikesan di seluruh negara sebagaimana dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun influenza merupakan penyakit ringan dan lazimnya sembuh sendiri, peningkatan ketara kehadiran pesakit bergejala di klinik-klinik kesihatan menunjukkan penularan jangkitan sedang berlaku secara meluas dalam komuniti.

“Satu-satu kluster influenza dikelaskan apabila terdapat dua atau lebih kes dalam kalangan individu yang mempunyai hubungan rapat di lokasi sama, seperti sekolah atau asrama.

“Keputusan untuk menutup asrama atau sekolah tertakluk kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pentadbiran sekolah masing-masing, sekiranya situasi didapati boleh menjejaskan kesihatan pelajar.

“JKNK sentiasa menasihati pihak sekolah dan JPN untuk memantau kesihatan pelajar secara berterusan serta mengambil tindakan pengasingan dan kuarantin bagi mereka yang bergejala,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala seperti demam, batuk atau selesema supaya memakai pelitup muka, mengelak tempat sesak dan tidak menghadiri majlis atau keramaian bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Selain itu, ibu bapa disaran memastikan anak-anak yang bergejala tidak hadir ke sekolah sehingga sembuh sepenuhnya bagi mengelak penularan dalam kalangan rakan sebaya,” katanya.

Katanya, keadaan influenza di negeri ini masih terkawal dengan pemantauan berterusan oleh pihak kesihatan.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here