Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan bahawa Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, yang dikaitkan dengan isu Abuya, beroperasi secara tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein, siasatan mendapati madrasah berkenaan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk didaftarkan di bawah subseksyen 96(1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994.
“Pihak MAIK kini menyelaras tindakan penguatkuasaan bersama pihak berkuasa berkaitan untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas madrasah tersebut dengan kadar segera,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu media melaporkan kes seorang penceramah agama, Aswadi Yah atau lebih dikenali sebagai Abuya, berdepan pelbagai tuduhan salah laku seksual dan penyebaran bahan lucah.
Isu itu timbul selepas pendedahan pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung, yang mendedahkan bahawa seorang penceramah agama, Aswadi, meskipun didakwa di mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz namun masih dibenarkan mengajar di madrasah miliknya, Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, di sini.
IMedikel TV





