LEVERKUSEN, Jerman: Bayer Leverkusen muncul pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga mengharungi sepanjang musim tanpa kalah selepas menang 2-1 di laman sendiri ke atas Augsburg lewat malam tadi sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 51 perlawanan dalam semua pertandingan.
Dinobat juara buat kali pertama bulan lalu, gol sumbangan Victor Boniface dan Robert Andrich meletakkan Leverkusen – yang beraksi final Liga Europa menentang Atalanta dan final Piala Jerman minggu ini – dalam laluan kemenangan.
“Benar-benar berhak. Itulah sasaran kami selepas memenangi kejuaraan menentang Bremen. Amat bangga dengan pasukan – terlalu berpuas hati dan amat gembira,” kata jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso.
“Kami boleh berseronok buat seketika – dan kembali memulihkan diri esok.”
Leverkusen mendahului selepas 12 minit apabila Amine Adli memaksa penjaga gol Augsburg, Tomas Koubek melakukan kesilapan, merampas bola sebelum mengumpan kepada Boniface yang menampan masuk dari jarak dekat.
Bintang tengah Andrich kemudian menggandakan kelebihan Leverkusen, menolak masuk dengan tumit susulan bola muntah selepas 27 minit.
Pemain remaja Augsburg, Mert Komor membalas satu gol dalam penampilan sulungnya bersama pelawat dengan jaringan mengagumkan pada minit ke-62 namun Leverkusen bertahan untuk menang menjelang apa yang boleh menjadi minggu bersejarah.
Serhou Guirassy meledak dua gol ketika Stuttgart menang 4-0 di laman sendiri ke atas Borussia Moenchengladbach, melonjak ke tangga kedua mengatasi Bayern Munich, yang tewas 4-2 di tangan Hoffenheim.
Sekalipun tampil tanpa Harry Kane yang cedera, Bayern mendahului 2-0 selepas hanya enam minit menerusi jaringan Mathys Tel dan Alphonso Davies.
Maximilian Beier, dipilih sebahagian daripada skuad Euro Jerman kelmarin, mengurangkan defisit dua minit kemudian, menggunakan kesempatan berikutan kesilapan penjaga gol Manuel Neuer untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Penyerang Andrej Kramaric kemudian menyumbat tiga gol dalam tempoh 20 minit untuk mengubah keputusan perlawanan.
Bayern berakhir di luar tangga dua teratas buat kali pertama sejak 2010-11.
“Kami melakukan beberapa siri kesilapan individu yang besar. Kami membenarkan lawan kembali dalam perlawanan ini, tidak cukup bagus ketika bertahan dan mensia-siakan pendahuluan 2-0,” kata pengurus yang akan meninggalkan kelab itu, Thomas Tuchel.
“Ini berlaku terhadap kami terlalu kerap musim ini.”
– AFP,BH Online –
Imedikel TV






