Tanggapan sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti mendorong ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk terus bekerja dan tidak mahu sambung pengajian di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Bukan perkara yang mengejutkan memandangkan lebih daripada 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian dalam tempoh tiga tahun sejak 2020.
Ini menjadikan mereka tidak yakin dengan program universiti yang disifatkan terlalu panjang dan menelan kos yang agak tinggi.
Lepasan sekolah menengah yang menduduki SPM baru-baru ini merasakan lambakan graduan universiti terpaksa mengganggur menjadikan mereka tidak yakin untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Turut dipersoalkan mengapa ramai pelajar yang terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menambah hutang pengajian akibat terjejas dengan kesukaran menampung kos sara hidup.
Wartawan Imedikel TV bertanyakan pendapat orang ramai berkaitan isu tersebut.
Zulfazli dahri, 25, kini bekerja di syarikat swasta berpendapat demi mendapat sijil diploma dan ijazah sudah tentu memakan masa sekurang-kurangnya 4 tahun.
“Saya telah melalui zaman lepasan SPM, sambung belajar dan bekerja untuk dapatkan sijil diploma yang saya ada sekarang, saya akui kelebihannya berbeza jauh lebih tinggi berbanding orang lain yang memohon kerja menggunakan lepasan SPM sahaja.
“Kadar pekerjaan di Malaysia ini rendah dan disebabkan kekangan ekonomi sekarang, ramai di antara anak muda lepasan SPM sanggup bekerja sebagai foodpanda kerana pendapatannya agak lumayan sekitar RM2000 untuk satu minggu, oleh sebab itu ramai remaja terjerumus untuk bekerja daripada sambung belajar meskipun kita tahu mencari ilmu itu adalah fardhu ain namun mereka lebih memilih untuk memikirkan kos sara hidup mereka seharian,” katanya.
Fatin Zaki, 19, merupakan pelajar lepasan spm melontarkan pendapat bahawa tindakan pelajar untuk tidak sambung belajar adalah wajar.
“Pendapat saya adalah tidak perlu nak menambah hutang dari segi PTPTN atau lain-lain semata-mata untuk sambung belajar kerana bila belajar tidak menjamin untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari kerana zaman sekarang ramai menginginkan pengalaman jadi bagi saya lebih baik saya dan rakan-rakan fokus untuk bekerja demi mencari pengalaman dan pendapatan.
“Saya tidak mahu menyusahkan kedua orang tua saya memandangkan mereka juga mempunyai kekangan dari segi kewangan. Belajar ni di mana-mana kita boleh belajar tapi kalau perlu menambah hutang dengan kerajaan mungkin itu tidak bagi saya,” katanya ketika dihubungi.
Fadhilah Azman, 19, dari Bachok tidak bersetuju dengan tindakan pelajar lepasan spm tidak ingin sambung belajar.
“Belajar ini satu kewajipan dalam hidup jadi tidak salah kalau kita mencari ilmu untuk diri kita, sama sekali tidak merugikan, andai kata tidak dapat kerja dalam bidang yang dipelajari sekurangnya kita mempunyai ilmu pengetahuan yang orang lain tidak ada.
“Menganggur selepas belajar itu setiap orang merasainya namun kita perlu juga berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi jangan expert untuk dapat kerja setanding dengan sijil degree kita kerana terkadang perlu bermula daripada bawah untuk mencari pengalaman memandangkan Malaysia sekarang memerlukan pekerja yang berpengalaman dalam pelbagai bidang,” katanya.