Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 44 tahun ditemukan lemas di Kampung Bakat, Rantau Panjang, kira-kira pukul 1.30 tengahari, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Kama Azural Mohamed berkata kejadian itu dikatakan berlaku selepas mangsa pergi menahan pukat di kawasan rumahnya yang dinaiki air sebelum perahu terbalik.
“Pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas telah ke lokasi kejadian dan berjaya menemukan mangsa dengan bantuan penduduk kampung.
“Siasatan awal mendapati mangsa, Mohd Kamarudin Mohamed Yahya telah memberitahu isterinya untuk memukat ikan secara bersendirian dengan menaiki perahu miliknya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kama Azural berkata mangsa dikatakan telah jatuh daripada perahu ketika memukat ikan sebelum lemas di kawasan berkenaan.
Isteri mangsa, Nor Zubaila Ramli, 36, hanya mengetahui kejadian malang menimpa suaminya pada pukul 1 tengahari selepas dimaklumkan oleh jiran.
Menurutnya, kawasan mangsa menahan pukat adalah lokasi yang dinaiki air selepas hujan lebat beberapa hari lalu dan mangsa mengambil kesempatan menangkap ikan kerana sudah biasa berbuat demikian sebelum ini.
Beliau berkata, mangsa juga sebelum ini sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak semalam, tetapi pulang ke rumah pada tengahari ini bagi melihat pukatnya.
Kama Azural berkata mangsa meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara tiga tahun hingga 17 tahun.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
I Medikel TV






