Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 64 Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada Ahad lalu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini semalam.
Mangsa yang merupakan penunggang motosikal berusia 65 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke bahu jalan.
Bagaimanapun katanya, pihak polis masih belum dapat mengenal pasti nombor pendaftaran serta jenis kenderaan yang dipercayai hilang kawalan sebelum mencetuskan kemalangan itu.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.38 malam Ahad lalu apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang hilang kawalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSIP.
“Kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan kenderaan yang melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
IMedikel TV






