Home Buletin Semasa AUTISME BUKAN PENGHALANG NUR SYAHIRAH RAIH 10A SPM

AUTISME BUKAN PENGHALANG NUR SYAHIRAH RAIH 10A SPM

164
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTABHARU: Sikap malas ke sekolah yang sering ditunjukkan seorang pelajar rupa-rupanya berpunca daripada keadaan dirinya yang tanpa disedari menghidap autisme.

Namun, keadaan itu tidak menghalang Nur Syahirah Syazwani Zailani, 18, untuk mencatat kejayaan cemerlang apabila memperoleh keputusan 10A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan semalam.

Syahirah berkata, dia disahkan menghidap autisme ketika berusia 16 tahun dan jika dilihat secara luaran, dia kelihatan seperti remaja biasa.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu turut mengakui tidak menjangka pencapaian luar biasa berkenaan memandangkan keputusan peperiksaan percubaannya hanya memperoleh 7A, 1B dan 3C.

“Saya hanya menyasarkan 8A sahaja, tetapi apabila keputusan diumumkan saya sangat terkejut kerana memperoleh 10A 1B. Subjek B itu adalah Matematik Tambahan.

“Saya sangat bersyukur. Sepanjang di sekolah, saya tidak tinggal di asrama dan hanya belajar di rumah kerana agak sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan. Saya juga lebih selesa bersendirian,” katanya ketika ditemui di SMKA Naim Lilbanat, di sini semalam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad menyantuni Nur Syahirah Syazwani bersama pelajar lain di sekolah berkenaan.

Syahirah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik berkata, dia sering membaca al-Quran sebelum memulakan pembelajaran, khususnya Surah Al-Mulk, Al-Kahfi dan Yasin.

“Saya juga mengulang kaji pelajaran selama tiga hingga empat jam setiap hari selain mengikuti tuisyen dalam talian berbayar serta kelas tambahan di sekolah,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Maznah Kadir, 51, berkata dia sentiasa bersifat terbuka dan bertawakal kepada Allah mengenai keputusan anaknya.

“Sebagai ibu, saya turut menitis air mata melihat keadaan Syahirah yang kadang-kadang mahu ke sekolah dan kadang-kadang tidak. Namun, saya sentiasa berdoa kepada Allah.

“Syahirah kurang yakin apabila berada di luar dan sering berasa waswas serta memikirkan masa depan kerana kurang keyakinan diri,” katanya.

Maznah berkata, dia dan suaminya, Zailani Zakaria, 57, sentiasa berusaha memahami keadaan anak mereka dengan membaca serta mendapatkan maklumat berkaitan autisme.

Menurutnya, Syahirah kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here