Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang lelaki ditemui lemas akibat terkena sawan ketika sedang mengail di sungai berhampiran Masjid Panglima Bayu, di sini, pada Selasa.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika mangsa sedang mengail bersama adik lelakinya berusia 11 tahun sebelum terkena sawan dan terjatuh ke dalam sungai.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Penguasa Bomba Kanan II, Alias Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi sekitar jam 3.12 petang.
“Seramai enam anggota bomba dari BBP Kemahang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi yang jaraknya sejauh lima kilometer, kita dapati seorang lelaki berusia 25 tahun lemas kerana terjatuh ke dalam sungai akibat terkena sawan ketika sedang mengail.
“Anggota bomba membuat pencarian dan menjumpai mangsa di dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jenazah mangsa diserahkan kepada kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
IMedikel TV






