Home Buletin Semasa LELAKI DITAHAN CUBA LARIKAN DIRI, DISYAKI SELEWENG MINYAK MASAK BERSUBSIDI

LELAKI DITAHAN CUBA LARIKAN DIRI, DISYAKI SELEWENG MINYAK MASAK BERSUBSIDI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa dalam satu Operasi Bersepadu Membanteras Penyelewengan dan Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi di Tok Bali, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Kelantan, Azman Ismail dalam kenyataan hari ini berkata suspek berumur 21 tahun itu dipercayai dalang bagi menyeludup minyak masak bersubsidi untuk dipasarkan ke Thailand.

“Operasi tersebut dijalankan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPM W3) Pengkalan Kubor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Pasir Puteh.

“Dalam operasi berkenaan, sebuah kereta jenis Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan ditahan selepas pemandunya bertindak mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 850kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi berjenama di dalam kenderaan berkenaan dengan nilai rampasan melebihi RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba menyeludup minyak masak bersubsidi itu ke negara jiran.

Jelasnya ketika cuba ditahan, lelaki terbabit bertindak agresif dengan melanggar kenderaan pihak berkuasa sebelum berjaya diberkas.

“Suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bagi urusan membawa keluar barangan kawalan tersebut. Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, KPDN akan terus mempergiatkan operasi bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi yang menjejaskan bekalan serta menimbulkan ketirisan kepada kerajaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here