Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dirai dalam majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Majlis berprestij itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka WTCKL.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil media, Ketua Pengarang Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui.
Dengan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, perhimpunan terbesar pengamal media di Malaysia ini dianjurkan Kementerian Komunikasi, dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bertindak selaku agensi pelaksana.
HAWANA 2025 adalah kali ke-5 diadakan dan akan diteruskan untuk tahun akan datang.
IMedikel TV turut berkesempatan ke majlis kemuncak itu sebagai tetamu jemputan untuk sambutan HAWANA 2025.

Majlis kemuncak HAWANA 2025 hari ini menyaksikan Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan tanah air sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang mereka dalam bidang kewartawanan.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib warga media yang pernah mewarnai dunia kewartawanan negara, Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga wartawan veteran yang sedang berdepan dengan masalah kesihatan.

Dalam acara berprestij itu juga, Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025, yang dijuarai Pasukan Jabatan Pengisian Islam TV3 yang berlangsung meriah pada 31 Mei lalu.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan sijil penghargaan.
Majlis kemuncak HAWANA 2025 turut dihiburkan penyanyi tersohor tanah air, Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
IMedikel TV






