Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
Minat mendalam terhadap irama dan alunan paluan rebana ubi mendorong seorang warga emas untuk terus menghidupkan semula permainan tradisional itu.
Berbekalkan ilmu yang ada, dia juga mengajar, membuat dan membaikpulih alat muzik tradisional itu.
Team I Medikel TV berkesempatan menemu bual seorang pembuat rebana di Kampung Bukit Marak, di sini, baru-baru ini.
Rebana ubi adalah sejenis alat muzik paluan yang amat digemari orang melayu Kelantan, khususnya generasi terdahulu.
Mohd Nor Zakaria, 78, berkata masih ramai kumpulan yang bermain rebana namun yang menghampakannya adalah pembuat yang semakin berkurangan.

“Pokno giat dalam seni ini umur 7 tahun lagi. Jadi duk turut arwah orang tua ini dia duk buat barang seni ini duk buat ketuk apa ni. Pokno pergi, pokno pergi duk belajar paluh apa sampai Pokno umur 9 tahun.
“Nak kata minat jadi kalau bunyi suara rebana pokno jadi tak boleh tidur sejak budak lagi yang tu mula dari umur tujuh tahun tu pokno main mainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bukit Marak, di sini, baru-baru.
Jelasnya, dia menghasilkan lebih kurang 20 rebana ubi yang kesemuanya diperbuat daripada kayu merbau serta kulit kerbau.
Katanya, kulit kerbau adalah bahan utama yang perlu dijemur sehingga kering bagi mengelakkannya daripada pecah ketika dipalu.
“Kalau kulit molek seminggu dia kering, dia kering macam yang ada tu kalau kulit makan dedak seminggu dia duk meleh lagi lemak dia tu dia payah kering,” katanya.
Selepas rebana ubi disiapkan, proses mencari bunyi akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan ia menghasilkan bunyi yang sama.
Katanya, kayu merbau adalah kayu yang digemari oleh pembuat rebana kerana ketahanannya dalam jangka masa yang lama.
Namun ianya susah didapati pada masa kini.

Oleh sebab itu, rata-rata pembuat rebana menggantikannya kepada kayu jati namun kualitinya tidak memuaskan kerana mudah reput.
Selain itu, dia berkata, dalam permainan rebana, kayu yang dipanggil baji memainkan peranan penting untuk menghasilkan bunyi yang sempurna.
Tambahnya, ia dimainkan dengan cara dipukul oleh dua orang serta boleh dimainkan secara paluan atau dipukul dengan tangan.
“Kayu baji tu untuk wak ejas suara, jadi kalau kita nak terik gak kita katok la katok baji masuk katok atas kulit ni katok atas kulit sekeliling,” katanya.
Selain itu, terdapat ramai dalam kalangan penggiat rebana ubi yang menggunakan khidmatnya untuk membaikpulih rebana mereka.
Dia mengambil upah untuk menukar kayu baji, membaiki rotan yang rosak serta mengecat di sekeliling rebana itu.

“Yang dia mari suruh buat gak tukar kulit, tukar kulit macam yang Kuala Lumpur ini suruh baiki rotan yang putus jadi yang mana rosak tu dia suruh baiki belaka cuma kulit tu kulit guna kulit sedia lepas baru cat,” katanya.
Menurutnya yang mesra disapa pok nor, dia bukan sahaja pandai bermain rebana tetapi juga menjadi guru mengajar bagi mereka yang berminat membuat rebana.
Katanya, generasi muda pada masa kini bukan sahaja boleh memainkan muzik tradisi namun lebih penting lagi untuk menyambung usaha mewarisi kemahiran membuat rebana tersebut.
Mohd nor turut berbangga kerana ilmu yang diperoleh telah diwarisi oleh cucunya, Mohd Norhisham Yazid, 35.
IMEDIKEL TV






