Home Hiburan KUGIRAN MASDO ANGGAP TEGURAN PEMINAT PEMBAKAR SEMANGAT

KUGIRAN MASDO ANGGAP TEGURAN PEMINAT PEMBAKAR SEMANGAT

KUALA LUMPUR: Kugiran Masdo yang sering diundang menjayakan festival muzik di luar negara mengakui tidak mudah buat seseorang penghibur memberi persembahan sempurna pada setiap masa.

Pemain gitar kumpulan itu, Asmawi berkata, mereka manusia biasa yang tidak lepas melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi, dalam keadaan gugup.

“Sebagai insan seni, tanggungjawab menghiburkan orang memang berat. Tidak semua persembahan sempurna. Dalam 100 persembahan, tidak semuanya boleh jadi sempurna.

“Kena faham susah payah menghiburkan orang. Nama pun manusia, secara fitrahnya, kita tidak sempurna.

“Sebenarnya, sebelum persembahan kami kena betul-betul bersedia. Ada kalanya apabila sudah bersedia, tetapi keadaan membuatkan jadi gugup. Berada atas pentas ‘feel’ lain, boleh jadi gugup atau takut hingga mengganggu emosi.

“Tambahan pula menyanyi depan televisyen (TV),” katanya pada sidang media Konsert One Love Music 2024 di sini, Rabu lalu.

Konsert One Love Music 2024 bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada 21 Disember depan, menampilkan 12 penyanyi untuk persembahan 12 jam.

Vokalis utama Kugiran Masdo, Ali Sariah berpendapat, kesilapan boleh berlaku di mana sahaja dan teguran boleh menjadi pembakar semangat dalam memperbaiki diri.

“Bagi kami, setiap apa yang berlaku adalah pengajaran. Penonton pun kena ambil yang baik dan perkara buruk dijauhkan.

“Kami pun pernah buat silap, jadi kami faham. Sedikit sebanyak memang imej tercalar, tetapi kena kuat semangat dan jadikan asbab untuk kita lebih baik.

“Kena cari apa yang boleh dibetulkan. Jadi, orang akan lebih lembut hati sebab hendak tengok penambahbaikan. Takkanlah satu perkara kurang baik boleh buat orang lupa kebaikan lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pencalonan Kugiran Masdo pada Anugerah MTV EMA 2024, Ali berkata, mereka tidak meletakkan harapan, sebaliknya, cukup berbangga apabila dibariskan bersama empat calon lain.

“Kami teruja dan tidak sangka. Kami tidak pernah letak harapan setinggi ini. Kami terkejut apabila bolos pencalonan. Apatah lagi, bersaing dengan artis dari Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia.

“Kalau menang adalah bonus. Namun, dicalonkan pun kami cukup berbangga berada dalam sekelompok dengan nama besar,” katanya.

Ditanya sama ada menerima jemputan menghadiri anugerah terbabit, Ali berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima undangan.

“Kami dengar tiada artis dari Asia yang hadir. Tetapi, tidak tahu kalau kami dipanggil pada saat akhir,” katanya.

Kugiran Masdo menjadi wakil Malaysia menerusi kategori Artis Asia Terbaik pada Anugerah MTV EMA 2024 di Manchester, United Kingdom (UK), Isnin ini.

Empat artis Asia lain tercalon adalah Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina) dan Sakurazaka46 (Jepun).

Penentuan pemenang akan dibuat melalui undian di laman web rasmi MTV EMA. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here