Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan Program Ziarah Prihatin hari ini sebagai usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pesara penjawat awam terus diberi perhatian.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz program turun padang tersebut membabitkan ziarah ke kediaman tiga pesara di sekitar Kota Bharu, merangkumi pesara uzur serta pesara yang masih aktif menyumbang kepada masyarakat.
“Untuk lawatan kali ini, kami bukan sahaja melawat pesara yang uzur iaitu Che Hasdi Musa, 69 tahun, malah turut mengetengahkan kisah pesara yang berjaya membina kehidupan baharu selepas persaraan, termasuk pesara yang kini menceburi bidang keusahawanan seperti Wan Noriah Wan Ramli dan suaminya Muhamad Zanini Mahamood yang mengusahakan Eco Tourism (Pusat Latihan Agro dan Pelancongan) di Min House Camp dan menyediakan khidmat sosial kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mempelajari asas pertanian,”katanya di sini, semalam.
Beliau berkata melalui kisah-kisah sebegini, JPA membawa mesej bahawa persaraan bukan penghalang untuk terus memberi nilai kepada komuniti, bahkan dapat membuka ruang baharu untuk pembangunan diri dan ekonomi.
“Pengalaman dan kebijaksanaan pesara adalah aset yang kekal relevan untuk masyarakat. Beliau menegaskan bahawa kerajaan amat mengalu-alukan pesara yang ingin terus menyumbang melalui aktiviti sosial, komuniti ataupun keusahawanan.
“Kehadiran JPA di lapangan membolehkan pihaknya memahami realiti kehidupan sebenar pesara dan menyalurkan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Pesara kini bukan hanya penerima manfaat, tetapi rakan strategik penting dalam memperkukuh kesejahteraan sosial negara,”katanya.
JPA menyeru pesara agar terus membabitkan diri dalam aktiviti yang membina jaringan sosial, ekonomi serta kesejahteraan diri.
“Program ini mengukuhkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa kebajikan pesara tidak hanya meliputi aspek fizikal, malah merangkumi kesejahteraan mental dan sosial.
“Dengan sokongan berterusan daripada JPA, pesara negara diharapkan dapat menikmati kehidupan pasca-persaraan yang lebih bermakna, harmoni dan dihormati masyarakat,”katanya.
IMedikel TV






